Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:38pm
Pemandangan di sekitar muara Sungai Melaka yang berjerebu dirakam sekitar jam 2.30 petang. Laman sesawang APIMS mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 69 pada tahap sederhana di Bandaraya Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Jerebu landa negara dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang melanda negara dijangka berterusan susulan kewujudan 31 titik panas setakat semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon, berkata faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia.

“Keadaan atmosfera stabil dan kurang hujan diramal berterusan. Berdasarkan corak tiupan angin ini, keadaan jerebu di Semenanjung dijangka berterusan sekiranya kewujudan titik panas masih berlanjutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara secara berterusan.

Pemandangan Jambatan Pulau Pinang  hampir tidak dapat lihat akibat jerebu dirakamkan kira-kira jam 9.30 pagi, Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), Jabatan Alam Sekitar, Seberang Jaya, 78, Seberang Perai 78, USM 76 dan Balik Pulau 77 mencatatkan bacaan sederhana. - Foto Ramdzan Masiam

Berdasarkan peta taburan titik panas Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), sebanyak 31 titik panas dikesan dengan dua daripadanya di Kota Belud dan Kudat, Sabah.

Kalimantan mencatatkan titik panas terbanyak iaitu membabitkan 23 kawasan, Jawa Timur (3), Sulawesi Barat (2) dan Sulawesi Tengah (1) setakat semalam.

Sementara itu, kualiti udara di seluruh negara masih di tahap sederhana apabila 67 daripada 68 stesen Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bawah 100.

Berdasarkan peta taburan IPU di laman web JAS setakat jam 3 petang tadi, Tawau masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu 35.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Pemandangan bandaraya George Town kabur dari Butterworth berikutan jerebu yang mula melanda sekitar Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
Pemandangan bandaraya George Town kabur dari Butterworth berikutan jerebu yang mula melanda sekitar Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X