Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:50am

Tiada rakyat Malaysia terjejas dengan gempa di Banten

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkesan dengan gempa bumi di Banten, Indonesia, hari ini.

Bagaimanapun, Kementerian Luar dalam kenyataan malam ini, memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa republik itu dan sentiasa memantau perkembangan kejadian terbabit.

Justeru, rakyat Malaysia diminta untuk bertenang dan mengikuti berita tempatan bagi mengetahui perkembangan semasa berhubung bencana itu.

“Warga Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta,” katanya.

Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan meminta rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan gempa untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti arahan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Gempa bumi 7.4 magnitud berpusat di perairan 147 kilometer (km) Barat Daya Banten berlaku pada jam 7.03 malam (waktu Indonesia Barat) dengan gegarannya turut dirasai di beberapa daerah Banten, Bengkulu, Jawa Baratdan Lampung.

Amaran tsunami turut dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia susulan kejadian itu, namun ditarik semula pada jam 9.35 malam (waktu tempatan).

Berita Harian X