Khamis, 1 Ogos 2019 | 6:18pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - NSTP/Saddam Yusoff
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - NSTP/Saddam Yusoff

Jenayah di ESSCOM makin kurang - Mat Sabu

SHAH ALAM: Kejadian jenayah di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) semakin berkurang selepas tindakan yang diambil tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina menjalinkan kerjasama mencegah kegiatan penculikan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata ketika ini juga, kerajaan sedang melakukan penstrukturan semula semua aspek di ESSCOM bagi tujuan sama.

Katanya, dengan langkah penyusunan semula ESSCOM itu, kerajaan yakin mampu menangani sebarang kejadian jenayah sekali gus memberi kesan lebih baik pada masa akan datang.

“Sebenarnya, kejadian jenayah culik semakin berkurangan cuma ia (berita) disebarkan secara meluas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Sayangi Klinik Ku Parlimen Kota Raja, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, kerajaan juga sudah menjadikan beberapa pelantar minyak di tengah laut yang tidak digunakan bagi mengukuhkan tahap keselamatan di Sabah.

Sebelum ini, pada tahun 2015, Pangkalan Laut Tun Azizan (PLTAZ) dan Tun Sharifah Rodziah (PLTSR), masing-masing di perairan Sandakan dan Lahad Datu melalui proses menaik taraf bagi dijadikan sebagai pusat keselamatan.

Dua pelantar itu dilengkapi sistem radar pengawasan selain mampu menempatkan enam bot tempur sekali gus membolehkan operasi pemantauan perairan negara dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kerajaan akan melihat keperluan untuk menambah lagi pelantar minyak yang lain bagi tujuan sama.

“Dalam masa sama, keperluan untuk menambah bilangan anggota keselamatan di perairan ESSCOM akan dibincangkan dan diteliti terlebih dahulu.

“Namun apa yang lebih penting adalah peralatan yang digunakan harus ditingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Hari ini, muka hadapan BH melaporkan kumpulan penculik dari selatan Filipina yang sering mengganas di Sabah, dipercayai mendapat bantuan penduduk tempatan hingga memudahkan mereka melakukan jenayah rentas sempadan.

Sebelum ini, pada Jun lalu, susulan penculikan 10 kru bot nelayan warga asing di kawasan perairan Tembisan, Lahad Datu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, mahu kerajaan melakukan penstrukturan semula ESSCOM secepat mungkin.

Gesaan itu dibuat bagi membolehkan ‘Chain of Command’ dapat diperhalusi dan diperkemas.

Berita Harian X