Ahad, 28 Julai 2019 | 7:43pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) bersama Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) menyaksikan Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim bertukar cenderahati pada majlis pelancaran Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) bersama Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) menyaksikan Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim bertukar cenderahati pada majlis pelancaran Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PDRM komited bantu banteras pemburu haram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam usaha membantu Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melumpuhkan kegiatan pemburuan haram spesies harimau Malaya di hutan negara ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya percaya PDRM mampu memberikan sokongan dan dokongan dari segi tenaga kerja untuk menguatkuasa undang-undang.

Katanya, selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PDRM bersetuju menyediakan dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak.

“Satu batalion terdiri daripada 500 anggota PGA dan satu lagi juga terdiri daripada 500 anggota PGA yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

“Tujuan saya menyediakan batalion Senoi Praaq untuk tugasan ini adalah kerana mereka sedia mahir sebagai penjejak (tracker) dan mereka juga biasa hidup dalam persekitaran hutan.

“Dengan adanya batalion ini yang sedia membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), saya percaya kita dapat membanteras warga asing yang datang merompak fauna yang begitu mahal harganya dalam negara ini.

“Tugas anggota PERHILITAN amat mencabar dalam hutan, nyawa mereka diancam kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani lagi ganas,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 sempena Hari Harimau Sedunia di sini, hari ini.

Pelancaran kempen berkenaan disempurnakan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga penaung kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu, katanya PDRM akan memberi latihan penggunaan senjata api kepada pihak PERHILITAN dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi berdepan pemburu haram yang mengancam nyawa pegawai PERHILITAN.

“Ketika rondaan, kita akan guna kuasa untuk menembak mereka (pemburu haram) jika ada keperluan.

“Saya juga sudah kerahkan pasukan Cawangan Khas PDRM menubuhkan satu bahagian khas khusus untuk mengumpul maklumat mengenai pelbagai perkara, termasuk pemburu haram dan mereka yang terbabit memperdagangkan organ haiwan liar seperti tanduk, daging serta hempedu,” katanya.

Beliau menjelaskan, komitmen pihaknya dalam membanteras kegiatan pemburuan haram Harimau Malaya adalah kerana haiwan itu sangat simbolik dalam lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Dr Xavier berkata pihaknya kini menumpukan operasi membanteras pemburu haram di tiga lokasi iaitu Hutan Tropika Belum-Temenggor, Taman Negara Endau-Rompin dan Taman Negara Pahang-Terengganu.

Berita Harian X