Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:04pm
TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul, dalam siri lawatan empat harinya ke Turki. - Foto BERNAMA
TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul, dalam siri lawatan empat harinya ke Turki. - Foto BERNAMA

Tun M lawat lapangan terbang milik MAHB di Turki

ISTANBUL: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul, dalam siri lawatan empat harinya ke Turki.

Ia adalah lapangan terbang kedua terbesar Turki dan milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sepenuhnya.

Sebaik tiba dari Ankara, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendengar taklimat mengenai operasi ISG yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Dr Mahathir kemudian dibawa melawat sekitar dalaman lapangan terbang itu.

Raja Azmi berkata, SIG mengendalikan 41 juta penumpang setahun dan berupaya meningkat kepada 60 juta apabila landasan baharu siap.

Katanya, Malaysia melalui MAHB adalah satu-satunya negara ASEAN yang memiliki lapangan terbang di Eropah.

“SIG mengendalikan 53 syarikat penerbangan, ke 131 destinasi antarabangsa dan 41 domestik,” katanya dalam taklimat ringkas.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamed Sabu; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Turut hadir, duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

MAHB adalah sebahagian konsortium yang berjaya memperoleh kontrak 1.9 bilion euro untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada 2007.

Pada 2013, ia meningkatkan pegangan kepada 60 peratus dengan membeli 40 peratus ekuiti yang dipegang syarikat dari India, GMR Infrastructure Ltd bernilai 225 juta euro, dan sejak 2015 memiliki sepenuhnya.

Berita Harian X