Selasa, 23 Julai 2019 | 1:01pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin melancarkan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 sambil ditemani Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahaya, (dua dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Syed Ahmad Syed Mustafa, (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di GreenTech Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto Azhar Ramli
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin melancarkan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 sambil ditemani Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahaya, (dua dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Syed Ahmad Syed Mustafa, (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di GreenTech Malaysia, Bandar Baru Bangi. - Foto Azhar Ramli

Analisis kilang berisiko Pasir Gudang siap bulan depan

BANGI: Analisis bagi menempatkan semula kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang akan diserahkan kepada kerajaan Johor bulan depan untuk tindakan lanjut, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, analisis itu dijangka akan selesai dalam tempoh lima minggu dan segala penemuan akan dikemukakan kepada kerajaan Johor.

“Kami juga akan memberi cadangan yang patut dilakukan termasuk penempatan semula kilang yang berisiko tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Cabaran Low Carbon Cities di Greentech Malaysia di sini pagi tadi.

Turut hadir pada program itu ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Syed Ahmad Syed Mustafa.

Bee Yin berkata, walaupun tiada kesan anomali, pembangunan di Pasir Gudang adalah terlalu padat dan terdapat kira-kira 2,000 kilang di situ dengan 257 darinya adalah berasaskan kimia.

“Ketika ini kita kena tahu sekolah mana, kilang mana dan lokasi mana akan terjejas dengan perkara ini. Tetapi yang penting kita sudah periksa dan mengarahkan kilang yang terbabit ditutup jika dikesan mengeluarkan bahan kimia,” katanya.

Bee Yin berkata, sehingga hari ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memeriksa semua 257 kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang.

Katanya, daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak tiga syor tindakan mahkamah dilakukan dan 12 kilang sudah ditahan operasi.

Ditanya mengenai punca pencemaran itu, Bee Yin berkata perkara itu akan diketahui selepas hasil analisis diperoleh.

Katanya, terdapat pelajar yang menunjukkan simptom seperti sesak nafas dan sebagainya walaupun indeks kualiti udara menunjukkan bacaan normal serta positif.

"Ini berbeza dengan Sungai Kim-Kim. Dalam insiden itu, melalui ujian air kencing dan juga darah terdapat kesan kimia. Namun, di Pasir Gudang adalah sifar.

"Sama ada mereka terhidu bahan kimia atau tidak, JAS sudah melakukan tindakan lanjut bagi mengatasi pencemaran itu," katanya.

Berita Harian X