Isnin, 22 Julai 2019 | 9:28pm
Orang ramai mengambil air bersih di paip air Awam Pusat Khidmat Setempat (PKS) Seksyen 16, Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis
Orang ramai mengambil air bersih di paip air Awam Pusat Khidmat Setempat (PKS) Seksyen 16, Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

16 peratus pelanggan terjejas sudah terima bekalan air

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 peratus akaun pelanggan berdaftar yang menerima bekalan air secara terus dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 serta LRA Rantau Panjang, pulih jam 6 petang tadi.

Kawasan terbabit mengalami gangguan bekalan susulan loji rawatan air berkenaan dihenti tugas berikutan pencemaran diesel semalam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata kawasan lain akan pulih secara berperingkat masing-masing 292 kawasan di sini pada jam 6 petang, Jumaat ini.

Katanya, Wilayah Petaling yang meliputi 280 kawasan terjejas pula dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi, Sabtu ini, manakala Klang/Shah Alam membabitkan 215 kawasan pulih sepenuhnya jam 6 petang, Jumaat ini.

Beliau berkata, bagi 203 kawasan di Kuala Selangor, pemulihan sepenuhnya dijangka pada jam 6 petang, Rabu ini dan 17 kawasan di Hulu Selangor pada jam 6 petang hari sama.

“Sebanyak 207 kawasan di Gombak akan pulih sepenuhnya pada jam 6 petang, Khamis ini dan lapan kawasan di Kuala Langat pada jam 9 pagi, Sabtu ini.

“Keseluruhannya sebanyak 1,222 kawasan terjejas membabitkan 1.19 juta akaun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Raof berkata, sebanyak 97 lori tangki air digerakkan termasuk bantuan dari agensi dan operator air luar serta 34 lori tangki jumbo bagi penghantaran bekalan kepada pelanggan.

“Selain itu, sebanyak 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam serta 17 lokasi pili awam bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas diaktifkan,” katanya.

Semalam, Air Selangor memaklumkan bahawa pencemaran minyak diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang daripada sumber air mentah Sungai Selangor.

Susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 6 petang disusuli LRA SSP3 pada jam 8 malam serta LRA SSP1 dan LRA SSP2 pada jam 8.15 malam semalam.

Bagaimanapun, kesemua LRA terbabit beroperasi semula pada jam 3.30 pagi tadi.

Berita Harian X