Isnin, 22 Julai 2019 | 7:14pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi bergambar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi bergambar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo Kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sambut pelancong dengan senyuman - Tun M

SEPANG: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu mutu perkhidmatan di pintu masuk negara dipertingkat ketika menyambut pelancong bagi membantu negara menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu semua rakyat Malaysia memainkan peranan bagi bersama-sama membantu kerajaan dalam menjayakan TMM2020.

Katanya, antara perkara menjadi keutamaan pelancong luar dalam memilih destinasi ialah melihat keramahan dan hospitaliti ditawarkan sesebuah negara.

“Kita mesti ramah, kena selalu senyum. Beri perkhidmatan terbaik kepada pelancong. Tunjukkan mereka arah dan apa sahaja yang mungkin ditanya. Jawab dengan teratur supaya pelancong mengenali Malaysia.

“Malaysia mungkin tidak banyak tempat bersejarah. Kita tidak ada piramid, namun kita melakukan yang terbaik dalam industri pelancongan, menduduki tempat ke-9 negara paling dilawati di dunia. Jadi, saya rasa kita mampu melakukan lebih baik lagi dan media membantu menceritakan tentang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran paparan logo di badan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ditanya mengenai tema ‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’ yang difahamkan idea beliau, Dr Mahathir berkata, sedikit perubahan dilakukan bagi tema berkenaan.

“Sebelum ini kita sebut ‘Malaysia Truly Asia’. Sekarang ‘Visit Truly Asia Malaysia’. Sedikit perubahan dilakukan tapi masih lagi ‘Truly Asia’,” katanya.

Ditanya mengenai kelewatan Malaysia dalam pengumuman logo dan promosi TMM2020 berbanding negara lain, Perdana Menteri berkata, kadang kala sesuatu perkara boleh berlaku dan tidak mengikut perancangan.

“Kita boleh merancang hanya Tuhan menentukan. Kalau nasib tak baik, lambat sikit. Kalau baik, lebih awal lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga menjangka peningkatan kehadiran pelancong China ke negara ini sempena TMM2020.

“Kalau tahun lalu hampir tiga juta pelancong China direkodkan. Kita yakin kali ini lebih tiga juta akan datang melancong ke Malaysia.

“China negara penting dan akan tetap menjadi negara penting bagi Malaysia. Kita sudah berdagang dengan China sejak 2,000 tahun lalu. Kita akan lakukan apa sahaja untuk menjadikan destinasi di Malaysia popular dan menjadi tarikan kepada pelancong China,” katanya.

Berita Harian X