Sabtu, 20 Julai 2019 | 2:40pm

Pencemaran bau akibat buangan sisa minyak di loji kumbahan

HULU SELANGOR: Punca pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya semalam adalah disebabkan pembuangan bahan berasaskan minyak.

Hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati bahan buangan berasakan minyak itu ditemui di kebuk masuk loji rawatan kumbahan serantau Indah Water Konsortium (IWK) di Batang Kali.

Ia dipercayai dibuang dari kawasan perindustrian di sekitar loji terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian, berkata perkara itu disedari pada jam 7 pagi tadi apabila siasatan mendapati terdapat lapisan minyak di kebuk masuk loji berkenaan.

Beliau berkata, hasil penemuan itu, pihak IWK terpaksa menutup kebuk masuk berkenaan sekitar jam 9 pagi bagi kerja-kerja pembersihan yang dijangka selesai jam 5 petang ini.

“Lapisan minyak yang ditemui itu menyebabkan proses penapisan air di loji berkenaan terjejas sekali gus mengeluarkan bau ketika air dirawat dilepaskan ke Sungai Liam.

“Kita percaya bahan berasaskan minyak itu dibuang dari kawasan perindustrian berhampiran hasil daripada pembuangan sisa terbabit dari bengkel kereta,” katanya ketika ditemui melawat loji rawatan kumbahan serantau IWK, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong; Pemangku Pengarah LUAS, Haslina Amer dan Ketua Operasi IWK Wilayah Selatan, Ir Mohd Taufik Salleh.

Loy Sian berkata, sebanyak enam tan karbon aktif (AC) digunakan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di sekitar kawasan terbabit untuk mengurangkan pencemaran yang dilepaskan.

“Pihak IWK kini dalam proses menyedut keluar lapisan minyak terbabit di kebuk masuk mereka dan kerja-kerja pembersihan itu dijangka selesai jam 5 petang ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengenalpasti dalang dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebabkan punca pencemaran ini.

“Kita percaya tindakan pembuangan minyak ini dilakukan secara sekali jadi ia menyukarkan untuk mengenalpasti siapa dalang sebenar namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Pencemaran bau yang mengakibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya menyebabkan hampir 1.2 pengguna di sekitar Lembah Klang terjejas.

Loy Sian (tengah) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Loy Sian (tengah) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Loy Sian (tengah) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Loy Sian (tengah) melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batang Kali berikutan pencemaran Sungai Liam. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X