Sabtu, 20 Julai 2019 | 10:24am
LOJI Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
LOJI Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Air Selangor kenal pasti punca pencemaran bau dari Sungai Liam, Batang Kali

SHAH ALAM: Pencemaran bau yang memaksa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya semalam dikenal pasti berpunca dari Sungai Liam, Batang Kali di Hulu Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata hasil siasatan dijalankan pihaknya dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengesan tahap pencemaran bau yang tinggi dari kawasan sungai berkenaan.

“Agensi penguatkuasa yang berkenaan akan membuat pengumuman kepada pihak awam berhubung pencemaran dari kawasan itu,” katanya. dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan pencemaran itu, perancangan kerja-kerja pembaikan di LRA SSP1 yang dijadualkan pada 23 Julai ini juga ditangguhkan.

Abdul Raof berkata, ketika ini LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 serta LRA Rantau Panjang kembali beroperasi sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan pada sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat.

Berikutan proses pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah iaitu baru mencapai tahap 19 peratus sehingga jam 6 pagi tadi, Air Selangor tidak dapat memberikan jangkamasa pemulihan mengikut kawasan.

“Pihak kami mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi pili awam bermula jam 9 pagi tadi bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan terjejas.

“Disebabkan insiden ini membabitkan kawasan berskala besar, kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan terjejas. Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan,” katanya.

Justeru, Abdul Raof berkata, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, pengguna dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di PKS dan pilii awam disediakan.

Orang ramai boleh melayari laman web www.syabas.com,my , Facebook `Air Selangor’ dan Twitter @airselangor atau talian 15300 bagi mendapatkan maklumat mengenai PKS berkenaan, selain koordinat pili awam disediakan itu.

Berita Harian X