Rabu, 17 Julai 2019 | 3:19pm
MENTERI Industri Utama Teresa Kok Suh Sim (dua, kiri) menyampaikan sijil Anugerah Penghargaan kepada Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan & Komersial Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Kheruddin Mohd Rani (kanan) pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Industri Utama (MPI) Bil 6/2019 di Dewan Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Bangi. - Foto BERNAMA

Malaysia mahu cabar larangan EU terhadap minyak sawit

BANGI: Malaysia berhasrat untuk mencabar undang-undang larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit yang diluluskan Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kerajaan berpendapat larangan berkenaan amat tidak adil dan bertentangan dengan polisi perdagangan bebas dilaungkan EU.

Justeru, beliau berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Peguam Negara bagi memperincikan perkara itu.

“Petang ini, kementerian akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan Peguam Negara (Tommy Thomas) untuk melihat bagaimana untuk kita teruskan mencabar undang-undang diluluskan EU ini.

“Selain itu, kerajaan Indonesia juga bersetuju untuk memfailkan saman terhadap undang-undang berkenaan ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Kita akan failkan saman itu secara berasingan tapi ada kerjasama (Malaysia dan Indonesia),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Industri Utama, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok berkata, faktor utama menyumbang kepada kemerosotan harga minyak sawit dunia adalah kerana lambakan stok.

“Senario ini bukan saja dihadapi pengusaha minyak sawit malah ia juga berlaku terhadap minyak lain seperti soya. Ia berlaku disebabkan lambakan stok di dunia,” katanya.

Berita Harian X