Ahad, 14 Julai 2019 | 11:13am
Mohamaddin Ketapi melambai tangan kepada orang ramai yang hadir pada Majlis Perasmian Penutup Festival Rakyat Kelantan di Perkarangan Pantai Geting. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Mohamaddin Ketapi melambai tangan kepada orang ramai yang hadir pada Majlis Perasmian Penutup Festival Rakyat Kelantan di Perkarangan Pantai Geting. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

TMM 2020 disasar jana RM192 bilion pendapatan negara

TUMPAT: Kerajaan menyasarkan negara akan meraih pendapatan sebanyak RM192 bilion daripada pelancong asing dan domestik sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pendapatan itu meliputi RM100 bilion hasil kunjungan 30 juta pelancong asing disasarkan, manakala selebihnya daripada pelancong dalam negara.

Katanya, beliau optimis kejayaan itu akan tercapai dengan Kelantan turut menyasarkan kemasukan seramai 5.5 juta pelancong asing pada tahun ini.

“Misalnya di Kelantan, syarikat penerbangan tambang rendah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot memulakan perkhidmatan penerbangan terus bagi laluan Kota Bharu-Singapura, sekali gus bakal membawa masuk ramai pelancong asing.

“Justeru, saya berharap penggiat seni budaya dan pelancongan dapat menggembleng usaha dengan agensi berkaitan bagi mencapai hasrat itu.

“Malah, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 4.7 juta pelancong domestik berkunjung ke Kelantan pada tahun lalu, manakala 54,000 pelancong asing direkodkan menginap di hotel dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2019 yang berlangsung sejak Khamis lalu, di Pantai Geting, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, FKRK ialah antara sembilan program tersenarai dalam kalendar pelancongan budaya di sembilan negeri bagi menyerlahkan keunikan seni budaya setempat sebagai produk pelancongan.

Pada penganjuran sebelum ini, beliau berkata, pendapatan RM254,000 dijana hasil kehadiran seramai 74,221 pengunjung.

“Oleh itu, FKRK menjadi antara pendukung aktiviti pelancongan rentas sempadan dengan menarik pelancong dari Thailand.

“Kelantan memiliki destinasi popular untuk dilawati, termasuk Pasar Besar Siti Khatijah, Pasar Wakaf Che Yeh, Dataran Kota Ismail Petra dan Istana Jahal.

“Antara kawasan tarikan lain ialah Gunung Stong, Taman Negara Kuala Koh dan Air Terjun Jelawang,” katanya.

Berita Harian X