Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:20pm
GAMBAR fail, EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah) sewaktu sidang media, di Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang pada 3 Julai lalu. Hadir sama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kiri) serta EXCO Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (kanan). - Foto Adi Safri
GAMBAR fail, EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah) sewaktu sidang media, di Bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang pada 3 Julai lalu. Hadir sama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (kiri) serta EXCO Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon (kanan). - Foto Adi Safri

Pasir Gudang sudah terkawal - EXCO Kesihatan

JOHOR BAHRU: Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka bagi menyelaras operasi berkaitan insiden gangguan kesihatan akibat pencemaran udara di Pasir Gudang ditutup tengah hari semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata keputusan penutupan pada jam 12 tengah hari itu dibuat kerana keadaan sudah bertambah baik.

“Sehingga jam 4.00 petang tadi, tiada kes baharu dilaporkan dan secara keseluruhan pemantauan kualiti udara yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak seminggu lalu mendapati keadaan bertambah baik dan bacaan (kualiti udara) adalah normal.

“Terdahulu, disebabkan situasi di Pasir Gudang bertambah baik, Pegawai Daerah Johor Bahru selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah mengumumkan penutupan PKTK di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tengah hari semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, bagaimanapun MPPG diarah menubuhkan Unit Bantuan Segera Kecemasan yang beroperasi serta-merta bermula hari ini, bagi menangani kemungkinan insiden gangguan kesihatan berulang berkaitan pencemaran udara.

Katanya, Pegawai Daerah Johor Bahru juga mengeluarkan arahan supaya Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang diaktifkan segera bermula minggu hadapan.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, sehingga hari ini, JAS sudah memeriksa dan menyiasat 255 premis industri termasuk kilang di Pasir Gudang bagi kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, sebanyak 125 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan berkaitan sisa buangan berjadual; efluen perindustrian (10); kumbahan (satu) selain 59 notis arahan diserahkan serta 11 premis dikenakan perintah tahan operasi dan tiga premis akan didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dan berkhidmat tanpa mengira masa bagi memastikan insiden berkenaan dapat ditangani sebaiknya.

Berita Harian X