Khamis, 11 Julai 2019 | 5:26pm
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) sempena Karnival Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) sempena Karnival Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Lam Thye terima anugerah pencapaian seumur hidup CSR

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) sempena Karnival Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menerima anugerah itu daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pada majlis yang dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia (CSR Malaysia) dan Komuniti Lestari Global.

Lam Thye, 73, dipilih menerima anugerah terbabit atas sumbangannya dalam meningkatkan kesedaran berhubung aktiviti CSR selain usahanya mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

“Saya gembira dan mendedikasikan anugerah ini kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja keras melaksanakan program CSR mereka. Anugerah ini juga mendorong saya untuk bekerja lebih kuat bagi merealisasikan impian membentuk rakyat Malaysia yang lebih prihatin.

“Program CSR sebenarnya memberi harapan kepada golongan kurang bernasib baik bahawa masih ada orang yang bersedia untuk membantu mereka,” katanya.

Selain menjadi Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Lam Thye juga aktif sebagai Pengerusi Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor serta Persatuan Psikiatri Malaysia.

Beliau juga adalah Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental serta Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.

Berita Harian X