Ahad, 7 Julai 2019 | 5:04pm
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Dr Maszlee (kiri) di Pejabat Mados di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini. - Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Dr Maszlee (kiri) di Pejabat Mados di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, hari ini. - Ihsan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah bahawa sistem pendidikan berperanan penting dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Melalui laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah seiring dengan usaha untuk memupuk nilai keharmonian antara kaum, selain memberi penekanan kepada subjek Sejarah untuk mengukuhkan lagi jati diri rakyat.

“Sistem pendidikan berperanan dalam menjadi medium penting sebagai pemangkin perpaduan kaum di negara ini,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Pejabat Mados di Istana Bukit Pelangi, di sini hari ini, dengan pertemuan itu berlangsung lebih sejam.

Dalam pertemuan itu, Dr Maszlee turut mendapatkan pandangan daripada baginda berhubung hala tuju serta sistem pendidikan negara.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah agar sistem pendidikan negara menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar sekolah tanpa mengenepikan Bahasa Melayu.

“Begitu juga dengan cadangan di mana Bahasa Mandarin dan Tamil boleh turut dipelajari bersama-sama dan menjadi kelebihan dalam penguasaan bahasa.

“Kemahiran menguasai pelbagai bahasa bukan sahaja suatu perkara baik, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum,” titah baginda.

Berita Harian X