Sabtu, 6 Julai 2019 | 4:43pm
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (tengah) dan ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (kanan) mendengar perbahasan daripada wakil penduduk ketika Sesi Dialog Meja Bulat Wakil Rakyat dan Penduduk mengenai pencemaran udara di Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang. - Foto Adi Safri
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (tengah) dan ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (kanan) mendengar perbahasan daripada wakil penduduk ketika Sesi Dialog Meja Bulat Wakil Rakyat dan Penduduk mengenai pencemaran udara di Dewan Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang. - Foto Adi Safri

SOP bencana alam sekitar di sekolah perlu diwujudkan

PASIR GUDANG: Kerajaan diminta mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sekolah menghadapi bencana alam sekitar termasuk pencemaran udara bagi membolehkan tindakan melindungi murid dan pelajar segera dilakukan sebaik insiden berlaku.

Perkara itu antara rumusan dicapai dalam sesi dialog meja bulat antara Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh; Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah daerah ini, persatuan penduduk dan ketua masyarakat.

Hassan berkata, pada masa ini tiada SOP jelas membabitkan insiden pencemaran udara, menjadikan pihak sekolah dan guru tidak dapat membuat keputusan jika perkara itu berlaku.

“Berikutan insiden pencemaran udara berulang yang menjejaskan ratusan murid dan pelajar di sini, menyebabkan berlakunya ketegangan antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“Ibu bapa yang bimbang tentang keselamatan anak mereka menuduh sekolah enggan menunda sesi persekolahan sedangkan guru besar atau pengetua tiada kuasa membuat arahan sedemikian melainkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Selain itu, dialog ini juga merumuskan supaya kerajaan perlu bertindak tegas terhadap suspek kilang kimia yang menjadi punca pencemaran udara berulang dengan memberi arahan penutupan sementara.

“Selama ini hanya sekolah yang terpaksa ditutup dan tindakan itu perlu merangkumi kilang kimia berlesen jika mereka bersalah dan bukan hanya terhadap kilang kimia haram sahaja,” katanya dalam sidang media selepas majlis dialog berkenaan di Sekolah Kebangsaan Nusa Damai di sini.

Lebih 50 ketua masyarakat, wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta persatuan penduduk hadir memberi pandangan mereka pada majlis dialog yang turut dihadiri agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, PPD serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kejadian pencemaran udara sejak 20 Jun lalu itu menjejaskan ratusan murid dan pelajar sekolah kawasan berkenaan dengan simptom muntah, sesak nafas dan pitam, namun kerajaan sehingga kini masih belum menemui punca sebenar kejadian itu.

Sementara itu, Hassan berkata, kesemua rumusan berkenaan akan direkodkan dan dihantar kepada pihak berwajib dalam masa seminggu.

“Ia membabitkan (rumusan akan turut dihantar kepada) Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

“Saya juga akan membangkit persoalan sama dalam sesi Kamar Khas Parlimen,” katanya.

Berita Harian X