Rabu, 3 Julai 2019 | 12:56pm
SALAHUDDIN Ayub
SALAHUDDIN Ayub

Salahuddin nafi lari jawab soalan di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, menafikan tuduhan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak) bahawa beliau ‘lari’ daripada menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Salahuddin berkata, Timbalannya, Sim Tze Tzin memang sudah ditugaskan untuk menjawab soalan bersamanya, sekiranya terdapat lebih daripada satu soalan berkaitan kementerian itu pada sesi soal jawab lisan.

Katanya, pengasingan tugas itu bukan baru diputuskan hari ini, sebaliknya ia adalah amalan biasa bagi kementeriannya dan sudah dilaksanakan sejak sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

“Memang kami sudah putuskan, jika ada dua soalan atau lebih, Timbalan Menteri akan bantu jawab bersama saya.

“Ia adalah proses yang biasa, tak timbul isu saya cuba lari daripada menjawab soalan di Dewan Rakyat (seperti yang didakwa Tajuddin).

“Seorang menteri seharusnya memberi peluang kepada timbalan menteri menjawab soalan dalam Parlimen. Itu satu kesepakatan dan kerjasama antara kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Tajuddin diarah keluar dan digantung selama empat hari daripada menghadiri sidang selepas bertikam lidah dengan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin mempersoalkan ketiadaan Salahuddin ketika ingin bertanyakan soalan tambahan kepada Tze Tzin, sebelum berterusan menimbulkan kekecohan serta mendakwa Kor Ming sebagai memihak (partisan) dan meminta beliau berlaku adil sebagai Timbalan Speaker.

Ketidakpuasan hati Tajuddin memuncak apabila Kor Ming menyifatkan tindakannya itu tidak senonoh dan tidak bertanggungjawab walaupun sudah diberikan masa secukupnya untuk bertanyakan soalan.

“Pasir Salak sengaja mengundang kekecohan, inilah sikap beliau yang tidak bertanggungjawab, yang menghina majlis dan inilah teladan buruk yang kita jangan pelajari,” katanya sebelum membacakan Peraturan Mesyuarat 44(2), bagi menghalau Tajuddin keluar daripada mesyuarat.

Berita Harian X