Isnin, 1 Julai 2019 | 5:45pm
MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika sidang media di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/Eizairi Shamsudin
MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika sidang media di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/Eizairi Shamsudin

Individu menyamar menteri, pegawai kanan kementerian minta rasuah

KUALA LUMPUR: Beberapa individu dikesan menyamar sebagai Menteri Pendidikan dan pegawai kanan kementerian itu untuk mengutip wang daripada kontraktor.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menerima aduan mengenai perkara itu, berkata ada individu mengakui sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan Setiausaha Politiknya yang cuba meminta rasuah daripada kontraktor yang mahukan tender daripada kementerian.

Katanya, individu terbabit dikatakan meminta wang daripada kontraktor kantin sekolah serta universiti, dan ia berlaku di beberapa negeri, antaranya Johor, Sabah, Kedah dan Perak.

“Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, Ketua Setiausaha kementerian, Setiausaha Politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk dapatkan tender.

“Kementerian Pendidikan tak pernah ada pegawai yang ditugaskan untuk kutip duit daripada kontraktor.

“Saya juga tak pernah melantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, menggesa mana-mana pihak yang berdepan dengan individu yang menyamar sebagai pegawainya, untuk melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang mengaku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, tolong lapor kepada polis dan SPRM. Ambil gambar dan bukti,” katanya.

Berita Harian X