Isnin, 1 Julai 2019 | 1:52pm
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika sidang media di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/Eizairi Shamsudin
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika sidang media di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/Eizairi Shamsudin

Tidak perlu RCI siasat Tabung Haji - Mujahid

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Tabung Haji (TH) yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ia kerana pengurusan TH kini sudah kembali stabil.

Bagaimanapun, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap perlu meneruskan siasatan terhadap pengurusan TH yang lalu kerana berlakunya penyelewengan dalam badan pengendali ibadah haji itu.

“Kalau keadaan sudah selesai dan kembali stabil, kenapa perlu RCI. Tapi yang perlu adalah (siasatan) SPRM kerana timbul penyelewengan.

“Beberapa (nama) anggota (pengurusan lalu TH) sudah ada dalam senarai SPRM, termasuk pengerusi terdahulu. RCI tak perlu sebab dah selesai masalah ini, tapi SPRM perlu siasat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menubuhkan RCI dalam masa terdekat bagi menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam TH ketika pentadbiran lalu.

Ditanya mengenai status permohonan 10,000 kuota tambahan haji bagi musim haji tahun ini, Mujahid berkata, Malaysia belum menerima maklum balas daripada Kerajaan Arab Saudi.

Katanya, kerajaan masih menunggu keputusan Arab Saudi sama ada meluluskan kuota tambahan itu atau sebaliknya, sebelum penerbangan pertama jemaah haji Malaysia, Khamis ini.

“Kuota tambahan belum lagi. Kita masih menunggu (maklum balas) daripada Arab Saudi,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon 10,000 kuota tambahan haji bagi musim haji tahun ini.

Jemaah haji Malaysia tahun ini akan berangkat ke Makkah dengan penerbangan pertama pada 4 Julai ini manakala perjalanan terakhir pada 4 Ogos. Kuota haji Malaysia buat masa ini kekal sebanyak 30,200.

Berita Harian X