Khamis, 27 Jun 2019 | 6:22pm
DZULKEFLY Ahmad
DZULKEFLY Ahmad

Jawatankuasa Khas rumus kaedah kawalan terhadap vape

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik (e-cigarette) atau vape.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kabinet dalam mesyuaratnya semalam setuju dengan penubuhan jawatankuasa khas itu yang diketuai timbalannya, Dr Lee Boon Chye.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut mengenai perkara ini tetapi ia membabitkan kawalan terhadap penggunaan alat ini,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Profesor Dr Zamberi Sekawi dan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Datuk Dr Lekhraj Rampal.

Sebelum ini, pentadbiran kerajaan sebelum ini sudah menubuhkan satu jawatankuasa berhubung penggunaan vape bagi menyeragamkan langkah kawalan terhadap vape secara menyeluruh.

Jawatankuasa itu juga mengkaji kandungan cecair perisa vape mengikut peruntukan Akta Racun 1952, bagi menentukan sama ada ia mempunyai bahan yang menjejaskan kesihatan.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, penyakit akibat asap rokok menjadi antara penyebab utama jangka hayat rakyat Malaysia mendatar dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini.

Katanya, penyakit akibat asap rokok tergolong dalam penyakit tidak berjangkit (NCD) yang jelas menyumbang kepada kematian tinggi di negara ini.

“Purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah 75 tahun iaitu 73 bagi lelaki dan 75 bagi wanita dan kajian ini menunjukkan tiada perubahan jangka hayat rakyat kita sejak lebih sedekad lalu berbanding negara jiran.

“Kita tidak mahu kematian rakyat negara sebelum ‘tempoh pramatang’ (purata 75 tahun) ini disebabkan penyakit-penyakit berpunca daripada asap rokok.

“Kita boleh membina seberapa banyak hospital dan menaik taraf kesihatan tetapi jika amalan kesihatan tidak dijaga, ia tidak akan memberi makna,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan usaha untuk mengelakkan orang ramai tidak merokok di tempat awam menunjukkan perkembangan positif kerana masyarakat dan premis sudah bekerjasama.

“Hingga Mei lalu, daripada 103,916 premis yang diperiksa, hanya 24,784 premis yang tidak mempunyai (tanda) larangan merokok,” katanya.

Berita Harian X