Khamis, 27 Jun 2019 | 2:18pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran (berdiri dua kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH 2019. Turut bersama Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye (berdiri kiri). NSTP/Rosela Ismail
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran (berdiri dua kiri) beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH 2019. Turut bersama Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye (berdiri kiri). NSTP/Rosela Ismail

Akta baharu bagi perkasa NIOSH

BANGI: Kementerian Sumber Manusia bercadang mewujudkan satu akta baharu bagi memperkasakan lagi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Menterinya, M Kulasegaran, berkata kementerian kini sedang melaksanakan kajian berhubung perkara itu sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

“Sudah tiba masanya peranan NIOSH diasingkan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan menjadi badan bebas, sekali gus dapat memainkan peranannya dengan lebih mustahak.

“Kementerian sudah melakukan analisis dan berpendapat satu akta baharu perlu diwujudkan berkaitan NIOSH. Sebaik sahaja kajian siap, saya akan bawa perkara ini kepada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

Kulasegaran berkata, pihaknya dijangka menyiapkan kajian itu dalam tempoh dua bulan sebelum membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet.

“DOSH bertanggungjawab dalam menjalankan penguatkuasaan manakala NIOSH memainkan peranan penting dalam melaksanakan program latihan.

“Kementerian mahu NIOSH mampu melahirkan pekerja mempunyai standard tinggi sekali gus menyumbang kepada peningkatan tenaga kerja mahir negara,” katanya.

Berita Harian X