Rabu, 26 Jun 2019 | 11:28am
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Edmund Samunting
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Edmund Samunting

Chikungunya: Simpang Kuala dikesan lokasi baharu

ALOR SETAR: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar mengesan lokasi baharu di daerah ini selepas empat orang lagi disahkan positif chikungunya menjadikan jumlah keseluruhan positif virus itu adalah seramai 19 orang.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata empat kes baharu itu adalah penduduk dan peniaga berusia antara 39 hingga 60 tahun dari Simpang Kuala, di sini.

Katanya, aduan kes di lokasi berkenaan diterima pihaknya pada jam 10, malam kelmarin.

“Siasatan segera dijalankan semalam dan disahkan empat orang dari lokasi berkenaan positif chikungunya.

“PKD Kota Setar masih menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat kemungkinan hubung kait wabak antara deretan kedai berdekatan City Plaza di Jalan Tunku Ibrahim dan kluster chikungunya di Simpang Kuala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Norhizan berkata, aktiviti kawalan vektor dijalankan semalam dan akan diteruskan di Simpang Kuala dengan sebanyak 24 premis sudah diperiksa dan enam bekas ditemui terdapat pembiakan nyamuk.

Katanya daripada jumlah itu, empat kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) dengan nilai keseluruhan RM2,000.

“Bagi kawalan vektor di premis rumah kedai di sekitar City Plaza yang bermula sejak Ahad lalu sehingga semalam, sebanyak 453 premis diperiksa dan 26 bekas ditemui terdapat pembiakan nyamuk.

“Berikutan penemuan itu, sebanyak 15 kompaun berjumlah RM7,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, seramai 23 orang disyaki dijangkiti penyakit itu selepas mereka dikesan mempunyai simptom demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Bagaimanapun, Dr Norhizan berkata daripada jumlah berkenaan, 15 orang disahkan positif chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lalu dengan kebanyakan mereka mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Berita Harian X