Isnin, 24 Jun 2019 | 6:23pm

Sasterawan Negara terima elaun penghargaan RM5,000 sebulan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan berjumlah RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara bermula bulan ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata peruntukan tambahan itu diluluskan kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun kepada semua Sasterawan Negara terbabit iaitu Datuk Seri Dr A Samad Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

“Pemberian elaun penghargaan secara bulanan ini adalah elaun tambahan baharu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka kepada membina bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada Sasterawan Negara supaya dapat terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Guan Eng berkata, beliau juga berharap pemberian berkenaan dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni dengan cemerlang dan menunjukkan penekanan terhadap sastera serta bahasa daripada semua lapisan masyarakat.

Selain itu, beliau berkata, bayaran elaun kepada Sasterawan Negara itu akan diteruskan untuk tahun berikutnya.

“Jika ada lagi pertambahan senarai Sasterawan Negara selepas ini, mereka juga akan mendapat elaun bulanan RM5,000 ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, selain memacu pertumbuhan negara, kerajaan dituntut memperkasa pelbagai bidang termasuk bahasa, sastera dan budaya.

Katanya, beliau berbangga terhadap inisiatif Kementerian Kewangan meluluskan elaun penghargaan bulanan RM5,000 kepada Sasterawan Negara.

“Apabila negara memberikan pengiktirafan ini, ia satu penghargaan daripada kerajaan kepada sumbangan sasterawan.

“Bagaimanapun, tidak hanya cukup sekadar diberikan anugerah, jika tidak dipastikan anak dan rakyat menjadi khalayak yang membaca serta meminati karya mereka,” katanya.

Bagi A Samad, pemberian itu diharap tidak akan mematikan jasa sasterawan, sebaliknya terus menyuburkan sumbangan mereka kepada negara.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan dengan pemberian ini dan saya tahu Anwar sangat mengambil berat nasib sasterawan di negara ini,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan cek kepada Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyerahkan cek kepada Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X