Jumaat, 14 Jun 2019 | 9:11pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Cadangan keluarkan cubaan bunuh diri dari Kanun Keseksaan tepat - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengarahkan Jabatan Peguam Negara mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri dari Kanun Keseksaan adalah tepat pada masanya, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, antara peruntukan yang perlu dikaji ialah Seksyen 309 kanun berkenaan, yang menyatakan barang siapa mencuba melakukan kesalahan membunuh diri dan melakukan apa-apa perbuatan pada melakukan kesalahan itu, hendaklah dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau didenda, atau kedua-duanya.

“Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara yang masih menganggap perbuatan bunuh diri sebagai jenayah.

“Undang-undang Malaysia terhadap bunuh diri diadopsi dari India tetapi India tidak lagi menganggap membunuh diri sebagai jenayah apabila dewan rendah parlimen negara itu pada Mac tahun lalu meluluskan Rang Undang-undang Penjagaan Kesihatan Mental 2016.

“Rang undang-undang itu menganggap individu yang cuba bunuh diri menderita sakit mental apabila melakukan perbuatan itu dan dia tidak akan dihukum kerana perbuatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye yang juga ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata, mereka yang cuba membunuh diri mesti diberikan rawatan psikiatri dan pemulihan kerana menganggap orang yang mengalami kemurungan atau sakit mental sebagai penjenayah adalah tidak berperikemanusiaan, tidak terfikir oleh akal dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata, kerajaan dan syarikat insurans perlu memainkan peranan masing-masing dengan memastikan perlindungan insurans perubatan turut meliputi kecelaruan psikiatri.

Beliau menarik perhatian kepada Singapura sebagai contoh sambil berkata inisiatif itu penting untuk membantu pesakit menanggung kos rawatan membabitkan kesihatan mental.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Jabatan Peguam Negara akan diarah mengkaji cadangan untuk mengeluarkan jenayah cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan.- BERNAMA

Berita Harian X