Isnin, 27 Mei 2019 | 1:48pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KPM ucap tahniah kepada UnisZA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengucapkan tahniah kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana mengambil langkah bersejarah dalam bidang pendidikan tinggi negara dengan melantik dua mahasiswa sebagai Ahli Senat universiti berkenaan, semalam.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata langkah itu usaha terbaik untuk melaksanakan reformasi menyeluruh sistem pendidikan negara dan menjadi titik terpenting kepada usaha berterusan kerajaan memperkasa mahasiswa di setiap universiti.

Katanya, langkah dilaksanakan UniSZA adalah permulaan dan selepas ini lebih banyak universiti awam bakal mengambil langkah sama untuk turut serta dalam usaha berterusan meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan tinggi negara.

“Kepada dua mahasiswa berkenaan, Harun Osman dan Ahmad Kamil Makhtar, KPM mengucapkan selamat maju jaya dan semoga dapat menjalankan amanah diberikan dengan penuh tanggungjawab serta berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, UniSZA melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti awam pertama di Malaysia melantik dua penuntut menjadi Ahli Senat universiti.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata pelantikan itu langkah strategik UniSZA bagi menyahut seruan Maszlee yang mahu memberi nafas baharu dalam proses pemerkasaan penuntut.

Berita Harian X