Khamis, 23 Mei 2019 | 9:06pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir. - NSTP/Amran Hamid
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir. - NSTP/Amran Hamid

Fasa pertama Bandaraya Getah Kedah siap tahun depan

PUTRAJAYA: Fasa pertama projek Bandaraya Getah Kedah (KRC), meliputi kawasan seluas kira-kira 200 hektar di Ladang Bukit Ketapang, dijangka siap pada tahun depan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir.

Diterajui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), beliau berkata konsep KRC adalah untuk merevolusikan dan menginstitusikan industri getah negara.

“KRC akan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk getah dan pembuatannya dan akan dipacu sektor perniagaan dengan kerajaan berperanan sebagai pemudah cara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel bertajuk “Membangunkan Bandaraya Getah di Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT): Berkongsi Pengalaman Negara-Negara dalam Perancangan dan Pembangunan Bandaraya Getah”, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak, Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, seorang daripada anggota jawatankuasa pemandu projek KRC.

KRC, menurut Mukhriz, akan dibangunkan di kawasan dengan aktiviti ekonomi sedia ada minimal tetapi direka untuk berperanan mentransformasikan kawasan itu serta merangsang pembangunan sosio-ekonomi Kawasan Ekonomi Koridor Utara (NCER) secara menyeluruh.

“Ini akan dicapai dengan mempercepat pembangunan infrastruktur awam seperti jalan raya dan kemudahan awam, menarik pelabur swasta untuk mendirikan kilang, pejabat dan gudang, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan untuk memenuhi permintaan aktiviti industri itu,” katanya.

Menteri Besar Kedah itu berkata projek KRC akan membawa aktiviti hiliran getah lebih dekat ke lokasi aktiviti huluan dan pertengahan.

“KRC akan fokus pada inovatif, nilai tambah tinggi dan produk lateks dan getah khusus, produk getah kejuruteraan tepat dan produk getah “hijau” iaitu produk getah yang direka menggunakan bahan mentah dan proses mesra alam sekitar,” katanya.

KRC terletak di “Jalur Getah” sempadan Malaysia-Thailand di Ladang Bukit Ketapang, kira-kira 10 kilometer (km) dari Kuala Nerang dan 45km dari Alor Setar.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John yang turut hadir pada bengkel itu berkata majlis pecah tanah dan kerja pembinaan infrastruktur di KRC akan bermula pada akhir tahun ini.

KRC, katanya akan memberi manfaat kepada pekebun kecil.

“Menjelang Jun tahun depan, KRC akan bersedia untuk menerima pelabur daripada industri berpotensi seperti sarung tangan dan tayar. Kami sudah menerima maklum balas positif daripada lima pelabur berpotensi,” katanya.

Dibangunkan bersama oleh NCIA, kerajaan negeri Kedah dan Lembaga Getah Malaysia, KRC dijangka menyumbang RM14.7 bilion kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia dan mewujudkan 14,500 kerja dalam tempoh 15 tahun selepas ia siap. - BERNAMA

Berita Harian X