Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:11am
https://www.ktmb.com.my/myrailtime.html
https://www.ktmb.com.my/myrailtime.html
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) dan Pengurus Besar ICT KTMB, Shafiin Yunus ketika melancarkan aplikasi MYRAILTIME di VIP Lounge Semasa Sentral. - Foto Eizairi Shamsudin

KTMB lancar aplikasi 'MyRailtime' untuk kemudahan pengguna

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan aplikasi ‘MyRailtime’ bagi membantu orang ramai menyemak jadual perjalanan, waktu ketibaan dan pelepasan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Tanjung Malim mengikut waktu sebenar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar sama ada Google Play Store dan Apple App Store itu memudahkan penumpang menyemak jadual perjalanan kereta api mengikut masa sebenar bermula dengan perkhidmatan KTM Komuter.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi berkenaan membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tepat mengenai masa pelepasan dan ketibaan tren KTM Komuter terutama bagi mereka menggunakan kemudahan pengangkutan awam berkenaan setiap hari.

“Kita juga bercadang memperluaskan penggunaan sistem digital dalam pengoperasian tren serta penyediaan kemudahan nilai tambah seperti WiFi di dalam tren Skypark Link dan ETS, mod pembayaran tanpa tunai bagi KTM Komuter di Lembah Klang sejak 10 Sepember 2018.

“Langkah ini adalah selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran MyRailtime di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata pihaknya menyasarkan lebih sejuta pengguna bakal menggunakan aplikasi ‘MyRailtime’ menjelang akhir tahun 2019.

Kakitangan KTMB, Rozuela Zakaria (kiri) dan Norizan Omar menunjukkan aplikasi MYRAILTIME di VIP Lounge Semasa Sentral. - FotoEizairi Shamsudin
Kakitangan KTMB, Rozuela Zakaria (kiri) dan Norizan Omar menunjukkan aplikasi MYRAILTIME di VIP Lounge Semasa Sentral. - FotoEizairi Shamsudin

Menteri Pengangkutan @anthonyloke rasmi ‘MyRailtime’, sebuah aplikasi di telefon pintar oleh KTMB bagi menyediakan maklumat tepat waktu berlepas, ketibaan serta kelewatan perkhidmatan tren untuk rujukan orang ramai di KL Sentral. - Foto BERNAMA

Dalam pada itu beliau juga meminta orang ramai bersabar dan memahami punca utama kelewatan ketibaan tren KTM Komuter terutama di Lembah Klang adalah kerana kerja menaik taraf landasan perkhidmatan rel berkenaan.

Beliau berkata fasa pertama kerja menaik taraf landasan KTM Komuter berkenaan bakal siap pada tahun depan, manakala fasa seterusnya beberapa tahun lagi.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kadar kekerapan dan ketibaan KTM Komuter sekarang menjadi 45 minit sekali berbanding 20 minit sebelum ini.

“Jadi dengan adanya penggunaan aplikasi ini saya berharap ia dapat membantu pengguna KTM Komuter merancang perjalanan masing-masing dan mengetahui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata pelancaran aplikasi berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif pemodenan KTMB.

Beliau berkata, 2019 adalah tahun pemodenan KTMB bagi menyediakan akses terbaik kepada pelanggan yang memfokuskan kepada jadual perjalanan tren KTM Komuter dan Skypark Link.

“Justeru KTMB akan memperuntukkan sebanyak RM13 juta perbelanjaan modal (CAPEX) pada 2019 hanya untuk menaik taraf sistem dan teknologi maklumat (IT) di KTMB,” katanya.

Berita Harian X