Ahad, 12 Mei 2019 | 8:35pm

Denggi ragut 71 korban

PUTRAJAYA: Sebanyak 46,607 kes denggi direkodkan di seluruh negara antara 1 Januari lalu hingga semalam dengan Selangor terus mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 27,172 kes denggi dilaporkan di Selangor, diikuti Kuala Lumpur (4,124), Johor (3,641), Pulau Pinang (2,507), Sabah (2,092) dan Kelantan (1,391).

Kes paling sikit adalah di Labuan dengan 22 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Pada masa sama, sebanyak 71 kematian akibat denggi direkodkan dalam tempoh 1 Januari hingga 4 Mei lalu.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan semua lapisan masyarakat untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi, zika dan chikungunya yang mana jangkitan itu adalah berpunca daripada nyamuk Aedes.

Katanya, aktiviti kawalan pembiakan nyamuk Aedes adalah penting termasuk memastikan bekas yang boleh menakung air dibersihkan atau dimusnahkan segera jika tidak diperlukan manakala bekas air yang sukar dikosongkan hendaklah diletakkan bahan pembunuh jentik-jentik.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, ruam, loya, muntah atau gejala amaran awal seperti muntah berterusan, sakit perut atau keletihan.

Selain itu, masyarakat turut disarankan menggunakan semburan aerosol bagi menghapuskan nyamuk dewasa terutama di belakang langsir atau bawah meja dalam rumah.

Individu juga perlu mengamalkan langkah perlindungan diri seperti memakai pakaian cerah yang menutup anggota dan menggunakan repelen.

Berita Harian X