Ahad, 12 Mei 2019 | 8:33pm
Zoo Negara menerima berita gembira susulan kelahiran seekor anak zirafah betina pada 18 April lalu. - Foto BERNAMA
Zoo Negara menerima berita gembira susulan kelahiran seekor anak zirafah betina pada 18 April lalu. - Foto BERNAMA

Anak zirafah betina dilahirkan di Zoo Negara

KUALA LUMPUR: Zoo Negara di sini menerima berita gembira susulan kelahiran seekor anak zirafah betina pada 18 April lalu.

Anak zirafah seberat kira-kira 50 kilogram dengan ketinggian kira-kira 1.4 meter itu dilahirkan pada waktu pagi dan turut disaksikan pengunjung yang melawat zoo ketika itu.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli, berkata anak zirafah itu adalah kelahiran keenam yang sememangnya amat dinantikan oleh pihaknya sejak tahun lalu.

“Kami menerima lima kelahiran anak zirafah sebelum ini tetapi malangnya keempat-empat ekor tidak dapat diselamatkan disebabkan ibu zirafah itu menolak untuk menyusu anaknya.

“Anak zirafah kelima tahun lalu hanya sempat hidup sehingga lima bulan saja dan mati akibat jangkitan kuman,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, oleh kerana sifat ibu zirafah yang agak agresif dan tidak begitu menerima kelahiran anak-anaknya, pihaknya amat menitikberatkan keadaan ibu zirafah itu sebaik saja mengetahui ia mulai bunting.

“Sebaik mengetahui induk betina zirafah mulai bunting melalui pemeriksaan tahun lalu, persediaan rapi terus dibuat termasuk mengasingkan induk.

“Ia penting bagi mengelakkan sebarang tekanan memandangkan tempoh bunting zirafah adalah antara 14 hingga 15 bulan,” katanya.

Mengulas lanjut keadaan terkini anak zirafah itu, Dr Mat Naim berkata ia kerap berbaring dan sesekali berdiri serta berjalan.

“Ibu zirafah kelihatan boleh menerima kehadiran anaknya itu berbanding dengan kelahiran sebelumnya, namun masih lagi enggan menyusukan anaknya.

“Kami terpaksa memberi susu kambing sebanyak 1.8 liter setiap hari kepada anak zirafah itu.

“Sebaik selesai menjalani pemeriksaan kesihatan, anak zirafah ini sudah mula dipamerkan kepada umum sejak dua minggu lalu. Tentunya ia menjadi antara tarikan terbaru di Zoo Negara,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X