Khamis, 9 Mei 2019 | 8:37pm
PENGARANG Urusan NCA, Datuk Manja Ismail (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Perasmian GRR 2019 di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Nazib Suratman (dua dari kiri) dan Pengurus Besar NCA, Wan Sabariah Shikh Ali (empat dari kiri). - Foto Sairien Nafis
PENGARANG Urusan NCA, Datuk Manja Ismail (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pelajar pada Majlis Perasmian GRR 2019 di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Nazib Suratman (dua dari kiri) dan Pengurus Besar NCA, Wan Sabariah Shikh Ali (empat dari kiri). - Foto Sairien Nafis

Gerobok Rezeki Ramadan untuk penuntut empat universiti awam

SHAH ALAM: Golongan penuntut kurang berkemampuan di empat universiti awam di Lembah Klang berpeluang menikmati sajian berbuka puasa dan sahur sepanjang Ramadan anjuran Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad.

Pengarang Urusan NCA, Datuk Manja Ismail, berkata program Gerobok Rezeki Ramadan (GRR) 2019 akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 800 penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada setiap hari.

“Golongan penuntut kurang berkemampuan boleh menikmati makanan berkhasiat secara percuma pada setiap hari sepanjang bulan mulia ini.

“Penuntut yang kurang berkemampuan boleh mengambil makanan kering, minuman dan buah-buahan dari pantri GRR 2019 yang ditempatkan di masjid setiap universiti untuk berbuka dan bersahur.

“Antara juadahnya ialah pek lengkap sajian berbuka manakala untuk bersahur, pelajar boleh memilih untuk mengambil roti, kek, pek lauk pauk segera untuk dimakan bersama nasi atau roti, sapuan tuna, biskut, jus dan buah-buahan.

“Pembabitan NCA dalam program seperti ‘food bank’ adalah satu usaha murni yang tercetus daripada laporan berita mengenai kesengsaraan sebahagian penuntut yang terpaksa mengikat perut disebabkan masalah kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian GRR 2019 di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

PENGARANG Urusan NCA, Datuk Manja Ismail berucap pada Majlis Perasmian GRR 2019 di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini. - Foto Sairien Nafis
PENGARANG Urusan NCA, Datuk Manja Ismail berucap pada Majlis Perasmian GRR 2019 di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam, hari ini. - Foto Sairien Nafis

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Nazib Suratman dan Pengurus Besar NCA, Wan Sabariah Shikh Ali.

Manja berkata, program GRR itu mendapat kerjasama anak syarikat Kerajaan Selangor antaranya Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor dan Worldwide Holdings Berhad.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada MBI kerana bermurah hati menyediakan sajian berbuka sepanjang bulan Ramadan bernilai RM256,000.

“Selain itu, program ini turut mendapat kerjasama Tabung Koperasi NSTP dan Media Prima Berhad serta beberapa penaja lain,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, GRR 2019 adalah sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) TV9 #Pulihkanharapan yang dimulakan sejak lima tahun lalu.

“Antara projek utama ialah bantuan kemanusiaan bencana alam, bantuan kembali ke sekolah dan program bantuan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

“Menerusi program CSR, wartawan dan pembaca berita TV9 dan stesen televisyen lain di bawah Media Prima Berhad, turun padang untuk menyelami kehidupan masyarakat terutama yang dilanda bencana serta kurang bernasib baik.

“Pendedahan ini memberi pengalaman dan perspektif lebih mendalam untuk membolehkan mereka meningkatkan kualiti kewartawanan dan penyiaran berita,” katanya.

Berita Harian X