Isnin, 6 Mei 2019 | 3:20pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Salhani Ibrahim.
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Salhani Ibrahim.

DBP tidak seiring dengan saya - Maszlee

KUALA LUMPUR: Sasaran Kementerian Pendidikan untuk menjadikan fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) setanding institusi bahasa dimiliki negara maju sukar dicapai selagi agensi itu tidak mengubah cara bekerja.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ketika ini DBP dilihat kurang momentum dalam mempromosi serta mengembangkan fungsinya sebagai pusat rujukan bahasa secara meluas.

“Saya rasa lebih 10 kali menyuarakan di Dewan Rakyat bahawa antara citra dan misi saya untuk menjadikan DBP setaraf dengan Goethe Institute di Jerman, dan juga British Council (United Kingdom) dan institusi bahasa lain negara maju.

“Tapi saya nampak DBP masih merangkak dan tidak berlari seiring dengan saya.

“Saya harap DBP dapat lari seiring dengan saya dan jangan biarkan kata-kata saya terbenam di dalam catatan hansard (senarai penyata rasmi) Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kerjasama strategik antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Pos Malaysia Berhad di Pos Besar Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Kerjasama strategik berkenaan membolehkan pihak terbabit menyediakan sudut bacaan di Pos Malaysia untuk menggalakkan budaya membaca menerusi bukubacaan berkualiti.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Syed Md Najib Syed Md Noor dan Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan berhasrat menjadikan DBP sebagai pusat rujukan bahasa Melayu setaraf dengan institut bahasa lain yang dimiliki negara maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Maszlee berkata, Goethe Institute yang beroperasi sejak 60 tahun lalu menjalankan operasinya di 159 pejabat di 98 negara seluruh dunia.

Katanya, institut itu mempromosi dan mengembangkan bahasa, budaya, sastera, pendidikan, muzik, filem dan seni Jerman secara meluas.

“Di belakang institut itu lebih 200 syarikat korporat dan agensi yang menaja operasinya. Saya harap perkara seperti ini pun berlaku di negara ini,” katanya.

Berita Harian X