Isnin, 6 Mei 2019 | 1:24pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) melihat harumanis Perlis sebagai hadiah di dalam hamper ketika merasmikan Festival Jualan Mangga Harumanis Perlis 2019 di Bukit Temiang. - Foto Ihsan Istana Arau
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) melihat harumanis Perlis sebagai hadiah di dalam hamper ketika merasmikan Festival Jualan Mangga Harumanis Perlis 2019 di Bukit Temiang. - Foto Ihsan Istana Arau

Elakkan lambakan harumanis pada Ramadan - Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan mempelam harumanis dijadikan hadiah khusus bagi mengelak lambakan buah itu pada bulan Ramadan.

Baginda bertitah, ia berikutan kemuncak musim buah yang menjadi ikon negeri itu adalah pada Mei hingga Jun ini.

“Penggunaan buah harumanis boleh dipelbagaikan dengan menjadikannya sebagai hadiah khusus di dalam hamper bersempena Aidilfitri pada tahun ini.

“Syarikat korporat di negara ini boleh mempertimbangkan menggunakannya sebagai ‘Hamper Hari Raya Istimewa’ untuk dikirimkan kepada pelanggan dan rakan strategik perniagaan mereka.

“Beta sarankan mereka yang berminat dengan cadangan ini untuk segera mendapatkan harumanis daripada pengedar terpilih di seluruh negeri ini,” titah baginda dalam satu majlis, hari ini.

Baginda juga menasihatkan pengguna tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memilih harumanis berkualiti.

“Dapatkanlah pembekal tempatan yang diyakini boleh menyediakan kualiti buah yang terbaik dengan harga dipersetujui secara bersama.

“Malah selain buahnya yang segar, terdapat juga pelbagai produk hiliran yang menarik dihasilkan berasaskan harumanis serta boleh digunakan sebagai cenderahati iringan di dalam hamper berkenaan,” titah baginda.

Raja Muda Perlis berharap semua pihak berganding bahu menjayakan industri pertanian di Perlis khususnya industri mempelam harumanis untuk ke arah kelestarian sekaligus mengharumkan nama negeri ini di peringkat antarabangsa.

Berita Harian X