Ahad, 5 Mei 2019 | 11:03pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pameran Art of Freedom oleh kartunis Zunar di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masian
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pameran Art of Freedom oleh kartunis Zunar di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masian

Anwar sebak lihat karya Zunar

GEORGETOWN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebak ketika menyampaikan ucapan perasmian pada pameran Art of Freedom oleh kartunis Zunar di sini, hari ini.

Anwar berkata, pameran karya Zunar mengingatkan beliau kepada ‘penderitaan’ yang dilaluinya ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Saya sebak dan berasa sentimental apabila lihat karya Zunar, kerana derita (dahulu) kami tanggung bersama.

“Saya dapat rasai derita yang beliau tanggung melalui lukisan ini, dan ini juga membuktikan peranan pelukis dan kartunis kepada negara,” katanya di sini, hari ini.

Zunar atau nama penuhnya Zukiflee Anwar Haque mengadakan pameran Art of Freedom by Zunar di Balai Seni Lukis Negeri, di sini.

Pameran yang memaparkan 202 karya itu akan dipamerkan kepada awam bermula Selasa ini hingga 28 Mei.

Sementara itu, Anwar menyarankan supaya semua balai seni lukis di setiap negeri mempamerkan karya seni kartunis Zunar.

Ini kerana, katanya, Zunar ialah seorang pelukis yang mempunyai kepekaan politik mendalam terhadap isu-isu berkaitan dengan rakyat.

“Pemilihan kata, pemahaman rasa dan denyut nadi rakyat digabungkan dalam satu hasil karya seni oleh Zunar.

“Ini sebab mengapa karya Zunar popular, dan saya berharap agar karya Zunar dapat dipamerkan di negeri lain,” katanya.

Berita Harian X