Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:49pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kiri) merasmikan Seminar Hentikan Penderaan di Meru,Ipoh. - Foto Effendi Rashid
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kiri) merasmikan Seminar Hentikan Penderaan di Meru,Ipoh. - Foto Effendi Rashid

Kawalan harga ubat untuk jaga kepentingan rakyat

IPOH: Langkah kerajaan untuk melaksanakan kawalan harga bagi menentukan paras harga siling bekalan ubat-ubatan bertujuan menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata justeru akan ada satu mekanisme terbaik dilaksanakan kerajaan bagi memastikan harga bekalan ubat-ubatan dapat dikawal bagi menjaga kepentingan orang ramai.

“Kita juga ada mengadakan dialog dengan GP (pengamal perubatan) dan sebagainya dalam hal itu (kawalan harga ubat). Kita faham bukan senang nak menjadi pengamal perubatan sekarang ini kerana berikutan liputan Klinik Kesihatan (kelolaan Kementerian Kesihatan) yang agak meluas.

“Kita faham bahawa pengamal perubatan dahulu dan pengamal perubatan sekarang ada perbezaan, dan untuk jangka masa panjang mereka perlu mengubah cara dalam memberikan perkhidmatan, malah kementerian sangat mengalu-alukan perkhidmatan pengamal perubatan khususnya membabitkan NCD (penyakit tidak berjangkit) kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan Peringkat Negeri Perak di Mydin Mall Meru Raya di sini, hari ini.

IPOH 04 MEI 2019. Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kanan) meletak tapak tangan yang dicat sebagai simbolik hentikan penderaan selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan di Meru,Ipoh. - Foto Effendi Rashid
IPOH 04 MEI 2019. Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (dua kanan) meletak tapak tangan yang dicat sebagai simbolik hentikan penderaan selepas merasmikan Seminar Hentikan Penderaan di Meru,Ipoh. - Foto Effendi Rashid

Dr Boon Chye mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mohamed Namazie Ibrahim semalam, yang memberi amaran bahawa kebanyakan klinik swasta berkemungkinan berdepan risiko ditutup jika kawalan terhadap harga bekalan ubat-ubatan dilaksanakan kerajaan.

Dr Mohamed Namazie dipetik berkata, berpandukan jadual bayaran semasa ditetapkan, klinik swasta berkemungkinan besar berdepan margin keuntungan rendah sehingga sukar untuk meneruskan dan mengekalkan perniagaan mereka.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mengumumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menentukan paras harga siling bagi bekalan ubat-ubatan dan memaklumkan perkara itu sudah mendapat kelulusan di peringkat Kabinet dan ketika ini, ia sedang dikaji oleh bahagian farmasi.

Dr Boon Chye berkata, melalui Pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan, kementerian turut bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta, dan mereka boleh mendaftar bagi membolehkan klinik melakukan saringan dan apa yang dilaksanakan itu adalah untuk kebaikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai penutupan loji rawatan air (LRA) Ayer Ganda dekat Gerik, yang dikesan tercemar dengan arsenik, beliau berkata, ketika ini Lembaga Air Perak (LAP) masih membekalkan air bersih untuk bekalan minuman kepada penduduk yang terjejas.

“Sama ada ia (LRA Ayer Ganda) tutup atau tidak, ia tertakluk kepada SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara), apa pun kita (kementerian) sudah menulis surat kepada SPAN dengan memberikan input mengenai kedudukan air di loji berkenaan pada minggu lalu.

“Setakat ini air berkenaan masih belum selamat untuk diminum sebaliknya hanya boleh digunakan untuk kegunaan lain selain dari air minum. Setakat ini kementerian tidak ada halangan untuk membuka loji berkenaan tetapi dengan syarat, air dari loji itu tidak boleh digunakan untuk diminum,” katanya.

Berita Harian X