Jumaat, 3 Mei 2019 | 4:08pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. - Foto Luqman Hakim Zubir

Lelaki digalakkan jadi guru TABIKA

KUALA LUMPUR : Golongan lelaki digalakkan memohon kerjaya sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), khususnya di kawasan pedalaman.

Ini kerana peratusan permohonan lelaki bagi jawatan itu amat berkurangan iaitu hanya 10 peratus daripada 30,000 permohonan sebagai guru di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan TABIKA dicatatkan tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata malah hanya 18 pelatih lelaki yang menamatkan kursus Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak (SPAK) yang terpilih untuk mengikuti kursus berkenaan selama tiga bulan.

“Meskipun sektor pendidikan awal kanak-kanak ini dikuasai oleh golongan wanita, namun ada juga lelaki yang minat terhadap kerjaya ini.

“Sifat penyabar memang ada lebih kepada wanita tetapi golongan lelaki lebih sesuai untuk dihantar ke kawasan pedalaman yang lebih mencabar bagi wanita seperti perkampungan Orang Asli.

“Memiliki sifat sabar dan sayang kepada kanak-kanak serta bersedia menghadapi pelbagai ragam kanak-kanak amat digalakkan menyertai bidang ini, kami tiada diskriminasi gender dalam mengisi jawatan,” katanya pada sidang media di Institut Kemajuan Desa, Bangi, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup dan menyampaikan sijil SPAK TABIKA/TASKA Siri 1/2019, kepada 198 pelatih dari pusat latihan KEMAS Kuala Lumpur, Melaka dan Selangor.

Dalam pada itu, beliau berkata, daripada 30,000 pemohon hanya 404 yang terpilih bagi memenuhi keperluan serta kekosongan jawatan di TASKA/TABIKA kendalian KEMAS.

Katanya, pihak kementerian turut melakukan saringan dan ujian psikometrik bagi menguji tahap kesihatan mental pemohon.

“Kami tidak mahu guru tangkap muat sekadar untuk mengisi jawatan sahaja kerana tugas menjaga kanak-kanak ini datang bersama amanah dan harapan ibu bapa serta negara kepada kami.

“Kami mahu mengekalkan prestasi tiada kes penderaan dilaporkan berlaku di TASKA dan TABIKA setakat ini yang berjaya dilakukan hasil pemantauan serta sesi kaunseling dari semasa ke semasa, yang dilakukan secara berterusan,” katanya.

INFO

TABIKA: 217, 329 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun / 10,996 kelas

TASKA: 9,392 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun / 509 kelas

Berita Harian X