Isnin, 29 April 2019 | 1:08pm

JAS kawal semua loji pengolahan kumbahan

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melaksanakan tindakan pengawalan ke atas semua loji pengolahan kumbahan yang diselia kerajaan negeri atau yang baharu supaya mematuhi had pelepasan ditetapkan.

Dalam satu kenyataan, JAS memaklumkan kawalan itu meliputi lokasi kumbahan dan air basuhan daripada restoran, pusat basuhan kereta serta pasar basah seperti keperluan menyediakan ‘grease trap’ dan semua air basuhan disalurkan kepada loji rawatan berpusat.

Katanya, kawalan juga membabitkan perancangan terperinci termasuklah bagi projek pembangunan baharu supaya menyalurkan kumbahan melalui sistem rawatan kumbahan mekanikal berteknologi tinggi secara integrasi.

“Ini termasuk mengambil kira beban pencemar yang dibenarkan seharian ke dalam sungai TMDL (Total Maximum Daily Load) dalam semua kelulusan cadangan projek.

“JAS akan memastikan semua punca-punca pencemaran yang terkandung di bawah kawalan dan undang-undang JAS akan ditingkatkan lagi penguatkuasaanya,” katanya.

Kenyataan JAS itu sebagai maklum balas terhadap laporan BH semalam yang mendedahkan ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengganggu sumber air negara.

JAS juga memohon tindakan dan usaha bersepadu agensi-agensi dipertanggungjawabkan ke atas penjagaan sungai kerana kawalan kepada kualiti air sungai ini membabitkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

“Bidang kuasa di bawah JAS terhad kepada ruang lingkup yang dinyatakan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kawalan secara pencegahan dengan memastikan punca yang memasuki sungai dikawal dan boleh dicapai dengan pelaksanaan TMDL. Banyak negara maju berjaya mengembalikan sungai yang dahulunya tercemar dengan menggunakan pendekatan ini,” katanya.

Mengenai laporan BH itu, JAS menjelaskan pihaknya maklum mengenai keadaan 24 sungai seluruh negara dikategorikan dalam kelas 3 sejak 2017, memandangkan ia menjadi tanggungjawab agensi itu melaporkan status kualiti air sungai seluruh negara menerusi Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) setiap tahun.

“Bagi 2017, di dalam laporan EQR terdapat 51 batang sungai dalam kategori tercemar dilaporkan di mana 24 sungai dalam kategori Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III, 26 Sungai Kelas IV dan 1 Sungai Kelas V,” katanya.

JAS juga sedang rasionalisasi program Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) bagi melihat semua lokasi stesen dan parameter pengawasan yang dapat mencakupi semua ‘representative data’ supaya dapat memberi gambaran menyeluruh status pengawasan parameter yang dicerap.

Bagi tujuan itu, sebagai langkah jangka panjang, satu prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi tindakan pencemaran membabitkan bahan toksik dan SOP tindakan penguatkuasaan bersepadu agensi penguat kuasa kerajaan negeri dan persekutuan.

Berita Harian X