Sabtu, 27 April 2019 | 3:15pm
Mohd Reza (kiri) melancarkan aplikasi baharu RMN Quick Reference E-MPAB pada Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-85 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut. - Foto ihsan TLDM
Mohd Reza (kiri) melancarkan aplikasi baharu RMN Quick Reference E-MPAB pada Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-85 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut. - Foto ihsan TLDM
Mohd Reza (kiri) memberi tabik hormat kepada perbarisan pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia pada Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-85 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut. - Foto ihsan TLDM
Mohd Reza (kiri) memberi tabik hormat kepada perbarisan pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia pada Istiadat Perbarisan Hari TLDM Ke-85 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut. - Foto ihsan TLDM

TLDM lancar aplikasi rujukan warga angkatan laut

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Bahagian Operasi Hadapan, Markas Pemerintahan Armada Barat, melancarkan aplikasi RMN Quick Reference E-MPAB, rujukan ilmu pelaut bagi warga angkatan laut itu.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, berkata aplikasi itu dibangunkan sendiri tanpa pembabitan kos dan agensi luar.

Katanya, aplikasi itu menyediakan satu pusat rujukan yang boleh dilayari oleh semua warga TLDM dengan hanya melalui telefon pintar.

“Aplikasi ini mengandungi enam silibus utama seperti E-book Ship Husbandry, Rujukan Navigasi Pantas (Navigation Quick Reference), Navigation Quick Guide (Panduan Navigasi Pantas), PWO Crib, Tips Perkapalan dan Peraturan Laluan atau Rules of the Road (ROR) serta boleh dijadikan panduan serta cara kerja yang menepati prosedur yang digariskan TLDM,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, aplikasi itu adalah ikon yang akan diguna pakai bagi tujuan rujukan segera oleh warga TLDM di kapal dan di mana sahaja mereka berada. Ia sesuai digunakan sebagai rujukan pantas melalui telefon pintar dan secara tidak langsung ia menyediakan kemudahan dalam proses pembelajaran kepada generasi kini.

Terdahulu, Mohd Reza memeriksa Perbarisan Hari TLDM Ke-85 dengan menaiki kenderaan istiadat membabitkan seramai 26 pegawai dan 538 anggota serta enam panji-panji TLDM di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Perbarisan kali ini adalah perbarisan Hari TLDM yang pertama untuk Mohd Reza sebagai Panglima Tentera Laut sejak mengambil alih jawatan pada 30 November lalu.

Sementara itu, dalam ucapannya Mohd Reza berkata, program naik taraf keupayaan aset permukaan lain diletakkan di dalam rancangan jangka pendek untuk dilaksanakan.

“Antaranya adalah proses menaik taraf kapal-kapal pembinasa laju melalui pemasangan Sistem Pengurusan Mini Kombat (Mini Combat Management System) dengan menggunakan produk buatan tempatan.

“Ia juga mengembalikan keupayaan peperangan periuk api bagi kapal penangkapan Mines Counter Measure Vessel (MCMV), serta perolehan kapal pemintas atau Fast Interceptor Craft (FIC) dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) sebagai aspek sokongan kepada Program Transformsi 15 ke-5 TLDM,” katanya.

Berita Harian X