Selasa, 23 April 2019 | 2:37pm
PERSEDIAAN... Beberapa warga kota membuat persiapan membeli tong air untuk menghadapi ketiadaan bekalan air. - Foto BERNAMA
PERSEDIAAN... Beberapa warga kota membuat persiapan membeli tong air untuk menghadapi ketiadaan bekalan air. - Foto BERNAMA

Air Selangor sedia 99 lori tangki

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 99 lori tangki termasuk lori tangki jumbo sepanjang tempoh gangguan bekalan air bermula esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad, berkata pihaknya akan memberi keutamaan kepada premis membabitkan kecemasan seperti hospital dan pusat dialisis.

Katanya, Air Selangor juga membuka 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) pada jam 8 pagi 26 April ini, yang menyediakan bekalan air kepada penduduk.

“Kami juga akan menempatkan 106 tangki statik di premis kritikal dan lokasi strategik, selain penyediaan sembilan lokasi pili air awam bagi kegunaan penduduk terjejas.

“Selain itu, kita turut menyediakan stesen pengisian air khusus bagi pembelian air untuk pelanggan industri di mana mereka boleh berurusan di kaunter Pejabat Wilayah Air Selangor.

“Bagaimanapun, pelanggan ini perlu menggunakan lori tangki air yang diuruskan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Raof berkata, lokasi pembelian ialah di Klang (Kolam Sungai Kapar Indah C, Lebuh Sungai Kapar Indah); Petaling (Jalan TPK2/2, Taman Perindustrian Kinrara, Puchong dan Jalan 1/1 Taman Metro Puchong); Gombak (Jalan Mutiara 1, Taman Selayang Mutiara, Bandar Baru Selayang, Batu Caves); Hulu Langat dan Kuala Lumpur (Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat, Batu 11, Jalan Cheras – Kajang) dan Kuala Selangor (Simpang 3, Jalan Bukit Belimbing, Kampung Permatang).

Beliau berkata, pili air awam disediakan mengikut daerah.

Di Klang, pili air disediakan di Masjid Ar Rahimah Sri Andalas manakala di Shah Alam di Persiaran Selangor, Seksyen 16.

Bagi Petaling, katanya, ia ditempatkan berhampiran Sekolah Kebangsaan Desa Tasik Jalan 11/146, Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi; PJS 3, Taman Medan; Pejabat Perhutanan Sungai Buloh, Km 21,

Jalan Subang dan Pejabat Ahli Majlis Zon 23, Taman Awam SS9, Jalan SS9/10.

Di Kuala Lumpur, pili air disediakan di Gelanggang Futsal Sungai Besi manakala di Kuala Selangor, ia ditempatkan di Pusat Perniagaan Alam Jaya, Jln PPAJ 2/8 dan Pusat Perniagaan Alam Jaya, Jln PPAJ 3.

Berita Harian X