Rabu, 17 April 2019 | 7:06pm
Ahli panel Penasihat, Kuil Hindu, Jerantut, N Balasundram (dua kiri), Profesor Adjung ATMA, UKM, Datuk Yazid Othman (tiga kiri), Prof Dr. Ridzuan Tee Abdullah (kanan) dan Mantan Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Kong Tuck Wah (kiri), pada Siri Wacana ATMA, UKM, bertajuk Fenomena Hina Agama Tanggungjawab Sivil dan Hak Tanggungjawab Bersuara di UKM Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi
Ahli panel Penasihat, Kuil Hindu, Jerantut, N Balasundram (dua kiri), Profesor Adjung ATMA, UKM, Datuk Yazid Othman (tiga kiri), Prof Dr. Ridzuan Tee Abdullah (kanan) dan Mantan Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Kong Tuck Wah (kiri), pada Siri Wacana ATMA, UKM, bertajuk Fenomena Hina Agama Tanggungjawab Sivil dan Hak Tanggungjawab Bersuara di UKM Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi

Hentikan penghinaan agama

BANGI: Pemimpin dan ahli akademik pelbagai agama mahu penghinaan terhadap agama khususnya Islam yang didakwa semakin membimbangkan di negara ini dihentikan segera demi keharmonian masyarakat.

Pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata penghinaan terhadap Islam perlu dihentikan segera.

Ini kerana katanya, masyarakat Islam di negara ini tidak pernah menghalang penganut agama lain beribadat dan mengamalkan agama masing-masing.

Beliau berkata, jika masyarakat Islam sanggup berkompromi membenarkan pembinaan patung gergasi untuk upacara keagamaan seperti di Batu Caves dan Bachok, penganut agama Hindu dan Buddha perlu membalas jasa berkenaan dengan kebaikan, bukan penghinaan.

“Jangan biarkan keharmonian kaum tercemar akibat penghinaan kepada agama lain. Tiada agama membenarkan penganutnya menghina dan mempersenda agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Siri Wacana Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertema ‘Fenomena Hina Agama Tanggungjawab Sivil dan Hak Tanggungjawab Bersuara’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Tiga lagi ahli panel ialah Penasihat Kuil Sri Singhra Vadivel, Jerantut, N Balasundram; bekas Ahli Majlis Perbandaran Sepang, KongTuck Wah dan Prof Adjung ATMA, Datuk Yazid Othman yang juga wartawan veteran; manakala moderator, Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin.

Bagi Balasundram, penganut Hindu yang menghina agama Islam menyalahi ajaran agama berkenaan.

Katanya, sebelum undang-undang sivil dilaksanakan mereka boleh ditanam ke paras leher dan orang ramai boleh pukul dan ludah.

Beliau berkata, bagi yang membunuh boleh dihukum bunuh seperti berlaku dalam kisah anak raja yang melanggar anak lembu pada zaman silam.

“Kita perlu kembali kepada kehidupan harmoni yang saling menghormati seperti sebelum ini, ” katanya.

Tuck Wah turut mengecam segelintir masyarakat Cina yang menghina dan mempersenda agama Islam dan agama lain.

“Ini bukan ajaran Buddha. Saya ramai kawan Melayu yang menghormati agama lain sejajar Perlembagaan Persekutuan. Saya harap hentikanlah segera penghinaan agama,” katanya.

Bagi Yazid yang juga bekas Presiden Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ), media memainkan peranan penting mendidik masyarakat supaya saling menghormati dan mendedahkan penghinaan agama.

“Jangan takut bersuara dan mendedahkan perkara benar demi kebaikan. Kita tidak mahu negara ini runtuh kerana persengketaan dan penghinaan agama,” katanya.

Berita Harian X