Ahad, 14 April 2019 | 3:55pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Aziah Azmee
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Aziah Azmee

PeKa B40 dilaksanakan di seluruh negara mulai esok

PUTRAJAYA: Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) akan dilaksanakan di seluruh negara, mulai esok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata PeKa B40 memfokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta bagi membantu kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum (GP) yang sudah berdaftar.

“Penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40.

“Hingga 12 April lalu, ada 423 klinik GP berdaftar sebagai Klinik PeKa B40. Senarai penuh boleh diperoleh dalam laman web PeKa B40 di alamat: www.pekab40.com.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pada masa sama, klinik GP lain turut disaran berdaftar secara dalam talian untuk menjadi Klinik PeKa B40 bagi memudahkan penerima skim itu menjalankan saringan kesihatan di klinik berhampiran mereka.

“Pendaftaran sebagai Klinik PeKa B40 akan berterusan selama skim ini berjalan. Sebagai permulaan, PeKa B40 akan melalui fasa ujian operasi di mana Kementerian Kesihatan akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh terbabit.

“Tempoh ujian ini akan berlangsung sehingga PeKa B40 dilancarkan sepenuhnya kelak,” katanya.

Beliau berkata, di samping manfaat utama, iaitu saringan kesihatan kepada kumpulan sasar, PeKa B40 juga memberi manfaat lain seperti bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Katanya, melalui PeKa B40, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka yang berdaftar serta berusia 50 tahun ke atas pada 2019, layak secara automatik untuk menyertai skim itu.

“Ia adalah percuma dan tiada pendaftaran khusus diperlukan. Semakan kelayakan dan pelbagai maklumat lanjut boleh didapati dalam laman web PeKa B40 atau dengan menghubungi 03-2730 7575,” katanya.

Berita Harian X