Ahad, 14 April 2019 | 2:53pm
KETUA Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd, Mohammed Shukor Ismail.
KETUA Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd, Mohammed Shukor Ismail.

Hanya 35 kenderaan e-hailing jalani pemeriksaan Puspakom

KUALA LUMPUR: Hanya 35 daripada kira-kira 200,000 kenderaan e-hailing hadir menjalani pemeriksaan Puspakom di seluruh negara sehingga 10 April lalu.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd Mohammed Shukor Ismail menggesa pemandu e-hailing supaya tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

“Ini bagi mengelak sebarang kesulitan seperti tidak mendapat kelulusan dalam tempoh yang ditetapkan atau kesesakan pada saat-saat akhir,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Puspakom katanya, melanjutkan waktu operasi kepada tujuh hari seminggu di 19 cawangan Puspakom terpilih untuk kemudahan pemandu kenderaan e-hailing.

Mohammed Shukor berkata mereka juga tidak perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) terlebih dahulu sebelum membawa kenderaan menjalani pemeriksaan Puspakom.

Kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan tertentu bagi perkhidmatan e-hailing di negara ini bermula Julai ini. – BERNAMA

Berita Harian X