Ahad, 14 April 2019 | 1:56pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Azhar Ramli
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Azhar Ramli

Sekolah perlu laksana audit bagi jamin keselamatan

SUNGAI PETANI: Sekolah berusia melebihi 15 tahun perlu melakukan audit keselamatan setiap tahun bagi menjamin tahap keselamatan pelajar, guru serta kakitangan di premis terbabit.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia berikutan keadaan struktur bangunan lama dan usang boleh menyebabkan insiden kemalangan sehingga mengakibatkan kematian.

Katanya, bagi sekolah yang kurang daripada usia itu, proses berkenaan perlu dilakukan setiap tiga hingga lima tahun sekali.

“Sejak kebelakangan ini banyak kita dengar kejadian kemalangan di kawasan sekolah seperti keruntuhan struktur bangunan, ditimpa kipas siling atau tiang gol serta kemalangan di makmal sekolah dan tandas.

“Kejadian seumpama ini dapat dielak jika aspek keselamatan dititikberatkan oleh pihak sekolah sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Daerah Kuala Muda di sini, hari ini.

Beliau berkata, audit keselamatan boleh dilakukan dengan bantuan agensi lain termasuk NIOSH dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selain persatuan yang mewakili pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Katanya, langkah itu membolehkan sekolah terbabit dapat mengenal pasti semua bahaya dan risiko di premis mereka sekali gus dapat mencari penyelesaian terbaik bagi menghalang berlakunya kemalangan..

Lam Thye berkata, pihak sekolah juga harus memberi latihan yang mencukupi kepada mereka yang terbabit untuk mengenal pasti risiko dan cara menanganinya berdasarkan konsep ‘HIRARC’ iaitu Pengenalan Hazard, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko.

“Guru yang mengiringi pelajar untuk program di luar sekolah atau mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum khususnya, mestilah mampu menjalankan HIRARC untuk memastikan perjalanan dan program yang disertai selamat,” katanya.

Beliau berkata, NIOSH sentiasa komited dalam menggalakkan dan membantu sekolah menjalankan audit keselamatan dan menggunapakai pendekatan HIRARC di bawah program ‘KKP di Sekolah’ melalui kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan sejak tahun 2015.

Dalam pada itu, beliau percaya masih banyak sekolah yang tidak mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan seperti mana yang terkandung dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, setiap sekolah seharusnya mempunyai jawatankuasa itu yang terdiri daripada wakil guru dan jabatan pendidikan dalam usaha memastikan sekolah dalam keadaan selamat dan sihat untuk semua warga sekolah.

“Sekolah bukan hanya tempat untuk mendidik dan melahirkan insan yang berguna tetapi juga perlu memastikan ia mesti dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera,” katanya.

Berita Harian X