Khamis, 4 April 2019 | 10:57pm
Wan Abdillah menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar UM, Siti Khairunnisa Harun sempena program ‘Mobile Food Bank’ anjuran Suara Komuniti BH. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Wan Abdillah menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar UM, Siti Khairunnisa Harun sempena program ‘Mobile Food Bank’ anjuran Suara Komuniti BH. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sukarelawan membuat persiapan sempena program ‘Mobile Food Bank’ anjuran Suara Komuniti BH di Universiti Malaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sukarelawan membuat persiapan sempena program ‘Mobile Food Bank’ anjuran Suara Komuniti BH di Universiti Malaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

BH anjur 'Mobile Food Bank' bantu pelajar UM

KUALA LUMPUR: Berita Harian (BH) hari ini menganjurkan program ‘Mobile Food Bank’ bagi memberi bantuan kepada pelajar Universiti Malaya (UM) yang miskin dan kurang berkemampuan sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa mengikat perut.

Sebagai permulaan, sebanyak 250 pek makanan kering dan minuman segera diagihkan kepada penghuni lima kolej kediaman di universiti tertua di negara ini.

Penyelaras program itu, Wan Abdillah Wan Nawi yang juga Ketua Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dengan kerjasama sekretariat projek Food Bank Kampus UM mengagihkan makanan dan minuman berkenaan.

Program bank makanan bergerak julung kali diadakan itu yang menyasarkan 1,000 pelajar, turut mendapat kerjasama Briged Sukarelawan Media Prima Berhad - NSTP (MPB-NSTP), pelajar UM dan sektor korporat.

Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, berkata program ‘Mobile Food Bank’ adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program Suara Komuniti BH.

“BH terpanggil untuk menjayakan program ‘Mobile Food Bank’ kerana akhbar ini yang mula-mula memaparkan secara eksklusif masalah kesempitan hidup dialami siswa-siswi UM.

“Laporan kami pada 17 Mac lalu bertajuk ‘Siswa miskin ikat perut’ telah menarik pelbagai reaksi serta tindakan, sama ada pembaca, pentadbir universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah pihak kerajaan sendiri.

“Kami cuba lakukan sekadar kemampuan kami sementara menunggu program Bank Makanan kementerian yang lebih sistematik dan efektif.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada rakan korporat yang sudi membantu seperti Pasaraya Mydin, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.

BH terpanggil untuk menjayakan program ‘Mobile Food Bank’ kerana akhbar ini yang mula-mula memaparkan secara eksklusif masalah kesempitan hidup dialami siswa-siswi UM. - NSTP/Eizairi Shamsudin
BH terpanggil untuk menjayakan program ‘Mobile Food Bank’ kerana akhbar ini yang mula-mula memaparkan secara eksklusif masalah kesempitan hidup dialami siswa-siswi UM. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Wakil Food Bank Kampus UM, Umar Aiman Abdul Manan, berterima kasih kepada BH kerana sudi menghulurkan bantuan menerusi bank makanan bergerak kepada sebahagian pelajar yang kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah, setakat ini maklum balas diterima daripada penerima bantuan pek makanan amat baik dan serba sedikit dapat meringankan beban ditanggung pelajar miskin yang sebelum ini terpaksa mengikat perut kerana masalah kewangan.

“Hari ini kami mengagihkan 250 pek makanan dan minuman kepada pelajar UM yang memerlukan. Kita akan kumpul maklum balas bagi membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan harian mereka,” katanya.

Sebelum ini, BH mendedahkan sebilangan pelajar UM terpaksa mengikat perut dengan makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari, antara ikhtiar hidup akibat kekangan kewangan.

Ini antara kesempitan hidup dialami pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu yang terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.

Ramai yang mencatu wang saku yang diberi keluarga dengan memilih menu paling menjimatkan daripada membeli makanan di kafe tertentu yang didakwa agak mahal sehingga ada yang terdedah kepada serangan gastrik.

Berita Harian X