Jumaat, 29 March 2019 | 10:00am
Naib Presiden Kanan MIGHT, Zakwan Zabidi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Naib Presiden Kanan MIGHT, Zakwan Zabidi. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

MIGHT akan terus sokong industri aeroangkasa negara

LANGKAWI: Industri aeroangkasa masih menjadi tumpuan utama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) meskipun diberi tanggungjawab menyelaraskan projek kereta nasional baharu dan agenda pembangunan negara yang lain.

Ini kerana, MIGHT adalah agensi yang diberi tanggungjawab untuk merangka dan melancarkan rangka tindakan aeroangkasa tempatan yang pertama pada tahun 1997.

Rangka tindakan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 1997.

Naib Presiden Kanan MIGHT, Zakwan Zabidi, berkata agensi itu yang ditubuhkan pada tahun 1993 bukan hanya memberi tumpuan kepada industri automotif semata-mata, tetapi juga kepada teknologi rel dan aeroangkasa.

Ketika itu katanya, industri aeroangkasa masih baharu dan kerjasama antara industri dengan kerajaan masih belum mantap dan dari situ MIGHT memainkan peranannya dengan antaranya menubuhkan Majlis Aeroangkasa Malaysia (MAC).

"Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan supaya industri ini mempunyai fokus dan mengetahui bidang mana yang perlu ditumpukan sama ada dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) atau alat ganti dan komponen.

"Maka, dari rangka tindakan ini kita mengembangkan industri aeroangkasa sehingga mencapai ke tahap sekarang ini.

“Biarpun kini sudah ditubuhkan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), MIGHT tetap akan terus memberi sokongan kepada industri dan mahu merancakkan lagi industri supaya lebih ramai peserta tempatan dapat dilahirkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, di sini.

Rangka tindakan aeroangkasa yang pertama dilancarkan oleh Dr Mahathir sewaktu LIMA 1997 hasil daripada kerjasama MIGHT dengan pihak awam dan swasta. Pada masa sama MAC juga telah ditubuhkan untuk meningkat dan membangunkan industri aeroangkasa pada kedudukan yang lebih gemilang.

Mengulas lanjut, Zakwan berkata, MAC memberi fokus kepada empat kategori iaitu MRO, pembuatan komponen aero, sistem integrasi dan avionik serta pendidikan dan latihan aero.

Sejak 2015 katanya, melalui rangka tindakan aeroangkasa itu, MIGHT berjaya menghasilkan lebih 150 buah syarikat aeroangkasa tempatan yang berdaya saing di peringkat global.

"Kesan daripada rangka tindakan itu sekali gus telah melonjakkan Malaysia sebagai pemain industri aeroangkasa serantau dan global. Keupayaan pemain industri tempatan adalah setanding di peringkat antarabangsa mencakupi keupayaan dalam struktur enjin dan komponen.

"Dalam bidang pembuatan bahagian dan komponen kapal terbang pula, Malaysia berjaya menjadi antara pengeluar dan pembekal komponen aero kepada pengeluar terbesar pengeluaran produk tulen (OEM) dunia seperti Boeing dan Airbus.

"Rentetan kejayaan ini, negara berada pada kedudukan yang strategik dan telah menyumbang kepada rangkaian nilai global malah berkemampuan terutama dalam bidang MRO.

"Sementara dari segi latihan dan pendidikan aeroangkasa, negara juga sedang bergerak ke arah melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang reka bentuk dan kejuruteraan," katanya.

Berita Harian X