X
Selasa, 26 March 2019 | 12:25pm
Sultan Sharafuddin menitahkan SPRM memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat berhubung tindakan penguatkuasaan dan hasil siasatan. - Foto BERNAMA
Sultan Sharafuddin menitahkan SPRM memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat berhubung tindakan penguatkuasaan dan hasil siasatan. - Foto BERNAMA

SPRM perlu beri maklumat hasil siasatan - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat berhubung tindakan penguatkuasaan dan hasil siasatan.

Baginda bertitah, maklumat lengkap mengenai hasil siasatan penting bagi mengelak wujud persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka.

“Beta sering mendengar aduan dan sungutan orang ramai bahawa terdapat aduan-aduan rasuah yang dibuat tidak diketahui kesudahannya.

“Akhbar-akhbar banyak melaporkan mengenai tangkapan dan tahanan reman yang dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah namun kesudahannya sama ada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui.

“Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat adalah sama ada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini adakah benar-benar sudah disiasat dan diadili mengikut undang-undang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kompleks Bangunan SPRM Selangor, di Seksyen 16 di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan SPRM kekal menjadi satu badan bebas daripada sebarang pengaruh mana-mana pihak termasuk orang politik.

“Pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa arahan tertentu yang boleh mengganggu siasatan.

“Dengan ini, SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah dan sekali gus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan dalam menjalankan amanah,” titah baginda.

Baginda dalam titahnya juga mengingatkan pemimpin negeri dan negara serta penjawat awam supaya tidak sama sekali membabitkan mahupun mendekatkan diri dengan rasuah dan perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

“Ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu ketika melaksanakan tugas mentadbir negeri. Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama sekali daripada dilakukan.

“Kita sering mendengar gejala rasuah diamalkan oleh pegawai dan kakitangan di sektor awam namun pada hakikatnya rasuah berlaku juga di sektor swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi agama serta badan-badan sukarela dan badan-badan sukan.

“SPRM perlu juga memastikan penguatkuasaan juga dilakukan terhadap mereka yang terbabit dalam gejala rasuah di sektor swasta dan badan yang beta sebutkan tadi,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan dengan statistik yang dikeluarkan SPRM baru-baru ini yang merekodkan beribu kertas siasatan yang dibuka membabitkan amalan rasuah oleh penjawat awam dan orang-orang politik, yang memberi gambaran buruk terhadap penjawat awam dan orang politik iaitu pemimpin kepada rakyat dan negara.

“Menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewah.

“Kita perlu mengingati kembali sumpah jawatan yang diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur kepada rakyat,” titah baginda.

Berita Harian X