Khamis, 21 March 2019 | 6:40pm
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Syarikat mencemar alam sekitar wajib bayar kos operasi pembersihan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang baharu yang mewajibkan syarikat yang mencemari alam sekitar untuk membayar kos operasi pembersihan dan kerosakan lain yang telah mereka lakukan.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata undang-undang baharu itu akan menjadi sebahagian daripada cadangan dalam pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, selain memberi tumpuan terhadap individu yang melakukan jenayah itu, undang-undang baharu itu juga akan menghukum syarikat yang tidak memantau pergerakan sisa berjadual mereka.

“Pencemar mesti dihukum atas keadaan kucar-kacir ini tetapi jika pelakunya pemandu lori, bagaimana hendak memaksa mereka membayar kerosakan bernilai jutaan ringgit, kerana pendakwaan atas nama individu. Mereka akan diisytiharkan bankrap dan kerajaan masih perlu membayar.

“Apa yang hendak kita lakukan dalam undang-undang baharu nanti ialah cara mewajibkan syarikat yang tidak memantau pembuangan sisa berjadual mereka menanggung kos memperbaiki kerosakan yang telah dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan Hijau Malaysian Industrial Development (MIDF) di sini, hari ini

Ditanya bila undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa, Bee Yin berkata kementeriannya sudah mengupayakan perkara itu dan telah berurusan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Mengkaji semula undang-udang akan mengambil sedikit masa dan apa yang berlaku di Pasir Gudang pasti akan membantu mempercepat pembentangan undang-undang itu di Parlimen,” katanya.

Kerajaan Johor dilaporkan terpaksa membelanjakan RM6.4 juta sebagai bantuan segera bagi kerja pembersihan serta sebagai bantuan kepada mangsa pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Ini menimbulkan bantahan daripada orang ramai yang mahu pihak yang bertanggungjawab mencemari sungai itu menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan. - BERNAMA

Berita Harian X