Selasa, 19 March 2019 | 2:00am
TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Makan Malam Khas Sempena Perkongsian Strategik Antara Asia Tenggara dan Universiti Oxford di ibu kota. - Foto Bernama
TIMBALAN Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah pada Makan Malam Khas Sempena Perkongsian Strategik Antara Asia Tenggara dan Universiti Oxford di ibu kota. - Foto Bernama

Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara pemangkin kembangkan ilmu

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah penubuhan Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara diharap dapat menjadi pemangkin dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mengenai rantau ini ke seluruh dunia.

Baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan selaku penaung pusat berkenaan bertitah, selain menghasilkan penyelidikan yang cemerlang, baginda berharap pusat itu juga boleh memainkan peranan ke arah menyampaikan hasil penyelidikannya kepada dunia.

“Beta mahu graduan Oxford dan orang awam mempelajari lebih lanjut mengenai penyelidikan cemerlang para sarjana dari rantau ini.

“Ini boleh memberi pencerapan tentang bagaimana pengalaman manusia boleh ditakrifkan dan difahami dari sudut pandangan Asia Tenggara,” titah baginda pada majlis santapan malam khas sempena menandakan perkongsian antara Asia Tenggara dan Oxford University di sini, malam tadi.

Sultan Nazrin bertitah, penerbitan ilmiah dan kolaborasi akademik antara ahli akademik di Asia Tenggara dan Oxford University akan terus ditingkatkan menerusi penubuhan pusat berkenaan.

“Ini boleh merangkumi antara inisiatif lain, termasuk penerbitan sarjana terkemuka ASEAN dalam senarai bacaan pelajar di Oxford, mengantarabangsakan fakulti di sana untuk meliputi sarjana pelawat dari rantau ini, dan meningkatkan kerjasama akademik individu dengan individu antara Oxford dan para sarjana di universiti terbaik ASEAN,” titah baginda.

Sultan Nazrin dilantik sebagai penaung pusat itu pada 11 Oktober tahun lalu.

Pusat yang dijangka bertapak sepenuhnya dalam dua hingga tiga tahun akan datang akan menjadi sebahagian daripada Oxford School of Global and Area Studies, mewujudkan fokus khusus untuk kecemerlangan penyelidikan dan pengajian akademik negara ASEAN.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah selain menjadi inovasi revolusioner, pusat itu juga adalah paparan baru dalam sejarah kerjasama dan hubungan yang sudah lama terjalin dan memberi manfaat antara universiti dan Asia Tenggara.

Menurut baginda, dengan memberi tumpuan khusus untuk penyelidikan dan pengajaran kecemerlangan dalam Pengajian Asia Tenggara, Oxford akan memberikan sumbangan penting kepada akademi global.

Sultan Nazrin bertitah, hanya segelintir universiti di dunia mampu menandingi Oxford daripada segi jangkauan dan kehebatan kepakaran akademik.

“Usaha unggul dan berkaitan ilmu pengetahuan bersepadu akan meletakkan Asia Tenggara di lubuk hati dengan memberi manfaat kepada rakyat negara-negara ASEAN dan umat manusia sejagat,” titah baginda. - BERNAMA

Berita Harian X