Isnin, 18 March 2019 | 7:58pm
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. - Foto SYarafiq Abd Samad
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. - Foto SYarafiq Abd Samad

'Tangani masalah hidup mahasiswa dengan tuntas'

KUALA LUMPUR: Masalah dihadapi mahasiswa yang tinggal di luar kampus dan hidup bersesak dalam satu rumah hingga menjejaskan tumpuan mereka untuk belajar, perlu ditangani secara tuntas.

Fahmi Fadzil (PH PKR-Lembah Pantai) berkata, masalah pelajar tinggal berhimpit dalam satu rumah adalah antara isu yang turut membelenggu mahasiswa, selain terpaksa mengikat perut untuk berjimat ketika belajar.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, kedua-dua isu berkenaan tidak boleh dipisahkan untuk ditangani kerana ia menyentuh kehidupan mahasiswa secara langsung.

“Dalam isu mahasiswa mengikat perut seperti dilaporkan akhbar, saya sudah berhubung dengan mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang berada dalam Parlimen Lembah Pantai dan ini sudah lama berlaku.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana mengusahakan Foodbank Malaysia yang dimulakan pada 6 Mac

lalu.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Kewangan yang meluluskan RM3 juta untuk menyediakan 14 trak makanan bagi mengangkut makanan ke tempat awam termasuk ke UM.

“Bagaimanapun, kita masih perlu melihat aspek lain untuk membantu mahasiswa yang tinggal begitu ramai dalam satu rumah di luar kampus.

“Mengikut laporan akhbar BH, sembilan orang tinggal dalam satu apartmen yang saya pasti dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai.

“Kita perlu menitikberatkan keadaan tempat tinggal anak kita, mahasiswa berkeadaan dalam suasana tidak sesuai,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi mengulas laporan BH yang mendedahkan pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terpaksa mengikat perut dan duduk berhimpit dalam rumah sewa akibat kekangan kewangan demi meneruskan pengajian masing-masing.

Ramai yang mengakui mencatu wang saku yang diberi keluarga dengan memilih menu paling menjimatkan daripada membeli makanan dan tinggal bersesak semata-mata untuk berjimat.

Berita Harian X