Ahad, 17 March 2019 | 9:23am
KENDERAAN melintasi papan tanda gergasi mengenai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang sudah di pasang di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto Hamzah Osman
KENDERAAN melintasi papan tanda gergasi mengenai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang sudah di pasang di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Persiapan LIMA'19 diperhebat menjelang 26 Mac

LANGKAWI: Persiapan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) diperhebatkan menjelang hari pembukaannya, 26 Mac ini.

Persiapan logistik sudah siap diatur oleh penganjur, EN Project (M) Sdn Bhd, dengan gabungan dan kerjasama pelbagai agensi serta jabatan kerajaan tempatan.

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selaku Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kebersihan LIMA’19, dipertanggungjawabkan memantau pelbagai persiapan terakhir itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Mohamed Asri Redha Abdul Rahman, berkata tugas berkenaan dipikul sebaik mungkin bagi memastikan acara negara itu berjalan lancar.

“LADA menjadi penyelaras kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta tempatan untuk memastikan tahap kebersihan serta kemudahan awam dalam keadaan baik.

“Antara agensi terbabit dalam jawatankuasa ini ialah Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi, Jabatan Kerja Raya serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam,” katanya, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang bakal menjadi tumpuan ramai untuk menyaksikan pameran aeroangkasa, juga sudah bersedia menerima tetamu.

“Kerja penyelenggaraan dan baik pulih beberapa kerosakan di MIEC yang juga bawah kendalian LADA, sudah dilakukan oleh kontraktor yang dilantik.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum pembukaan rasmi pameran itu, pelbagai syarikat pempamer dari dalam dan luar negeri bertali arus masuk ke pulau ini,” katanya.

Pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Pasifik itu akan diadakan di MIEC untuk segmen aeroangkasa dan Resort World Langkawi (segmen maritim) dengan tema ‘Jaringan Kecerdasan Pertahanan dan Perdagangan Komersial’.

Berita Harian X