Jumaat, 15 March 2019 | 9:03pm
PEGAWAI KPDNHEP, Mohammad Arham Azmi memeriksa peralatan menghasilkan minyak pelincir tiruan. - Foto ihsan KPDNHEP
PEGAWAI KPDNHEP, Mohammad Arham Azmi memeriksa peralatan menghasilkan minyak pelincir tiruan. - Foto ihsan KPDNHEP

Jual harga asli tetapi produk tiruan

PUTRAJAYA: Produk dijual pada harga kira-kira sama dengan yang tulen namun ia sebenarnya adalah tiruan.

Itu aktiviti haram di dua premis di sekitar Pelabuhan Klang yang ditumpaskan menerusi operasi barang tiruan, jam 10.50 pagi tadi.

Difahamkan, minyak pelincir tiruan itu bukan sahaja dijual untuk edaran sekitar Lembah Klang, malah turut dijual di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosli Ahmad berkata operasi bersepadu itu membabitkan sebuah kilang memproses minyak pelincir dan premis menjual alat ganti kenderaan.

Katanya, ia membabitkan lapan anggota penguat kuasa KPDNHEP bersama sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Bukit Aman dan pemilik cap dagang.

“Hasil serbuan berikutan aduan pemilik cap dagang itu, kami menahan lapan orang membabitkan warganegara Indonesia dan Bangladesh serta seorang warga Malaysia kesemuanya berusia antara 18 hingga 40 tahun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Antara barangan disita di kedua-dua premis itu ialah minyak pelincir jenama Honda, Castrol, Shell, Motul serta Yamaha; mesin memproses minyak pelincir dan kenderaan bermotor lori dianggarkan bernilai RM854,300.

Tindakan kes diambil mengikut Seksyen 8(2)(c), Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam pada itu, Rosli berkata, KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan hak harta intelek milik industri.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengguna supaya membeli minyak pelincir hanya daripada pihak yang sah bagi mengelak ditipu.

ROSLI (kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri Selangor, Azman Adam ketika mengadakan sidang akhbar di Putrajaya, petang tadi.
ROSLI (kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri Selangor, Azman Adam ketika mengadakan sidang akhbar di Putrajaya, petang tadi.

Berita Harian X